Categories
KENYATAAN MEDIA

GST kambing hitamkan rakyat

OLEH AHMAD NIZAM

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengeluarkan kenyataan bahawa cukai GST telah menyelamatkan ekonomi Malaysia daripada kejatuhan harga minyak dunia, memandangkan pendapatan bersumberkan petroleum merudum sehingga memaksa Kerajaan Persekutuan memperkenalkan dasar cukai regresif yang dikenakan kepada sebahagian besar penduduk Malaysia.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan sistem GST mengajar peniaga untuk jujur dalam membayar cukai. Hakikatnya, kegagalan kerajaan Umno BN dalam menguatkuasakan undang-undang selama ini yang menyebabkan peniaga mengelak daripada membayar cukai.

Jika ini alasan untuk GST diwujudkan, maka ternyatalah kerajaan mengkambing hitamkan rakyat gara-gara kegagalan mereka untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan SST sebelum ini.

Tambahan pula, Mustapa mendakwa cukai GST hanya menyebabkan kadar inflasi Malaysia meningkat secara sementara atau ‘one-off’.

Realitinya, laporan Bank Negara menunjukkan bahawa kadar inflasi negara meningkat melebihi purata kadar inflasi bulanan (2 hingga 3 peratus) pada waktu permulaan pengenalan GST dan juga pada bulan Februari 2017, iaitu 22 bulan selepas 1 April 2015.

Malah, jika ditanya orang ramai, sudah tentu mereka masih merasakan harga barang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Apa yang boleh dirasai kini apabila harga makanan seperti mee segera, mee dan laksa kering turut dimasukkan di dalam jadual barangan dikenakan GST.

KUALA LUMPUR, 2 April 2016. Himpunan Bantah GST anjuran Parti Amanah di sekitar Kuala Lumpur. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIMGolongan pertengahan, bawahan dan pelajar tidak terkecuali akan terkesan, ini jelas menampakkan kerajaan Umno BN tidak prihatin langsung dengan golongan ini.

Tanpa segan silu menyatakan bahawa GST penyelamat negara, Mustapa menyembunyikan situasi sebenar bahawa kerajaan gagal menangani dua isu besar yang menyebabkan dasar fiskal negara menghadapi masalah.
Pertama, penyelewengan dan rasuah yang akhirnya meningkatkan perbelanjaan negara tanpa menguntungkan rakyat kebiasaan. Kedua, kegagalan polisi pencukaian yang mampu mengatasi ketidaksamarataan harta atau ‘wealth inequality’ di negara kita.

Merujuk kepada Indeks Pembaziran Kerajaan dikeluarkan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW), jumlah pembaziran untuk tahun 2014 adalah dianggarkan sebanyak RM1.6 bilion.

Pembaziran ini tidak termasuk lagi dengan kes-kes rasuah yang melanda di seluruh negara. Persepsi rakyat terhadap amalan rasuah Kerajaan Umno BN semakin tinggi, apatah lagi setelah berlakunya kes rasuah syarikat air di Sabah dan kes rasuah hartanah bumputera di Johor, di mana kedua-dua negeri ini ditadbir oleh Umno BN.

Disebabkan kerajaan gagal mengekang gejala penyelewengan yang menyebabkan peningkat perbelanjaan negara, akhirnya jalan pintas untuk membayarnya adalah dengan memperkenalkan GST yang memangsakan rakyat kebanyakan.

Pada masa yang sama, Kerajaan gagal melihat ketidakseimbangan kekayaan dalam populasi rakyat di negara kita. Wujudnya situasi golongan kaya semakin kaya, golongan miskin semakin miskin, adalah disebabkan kerajaan gagal mewujudkan polisi percukaian yang progresif.

mansuh gstBagaimana negara kita mempunyai hartawan yang mempunyai berpuluh-puluh bilion ringgit, sedangkan pada yang sama sejumlah lapan juta orang memohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Mengapakah boleh terjadi beberapa orang memiliki berpuluh-puluh syarikat dan saham bernilai ratusan juta ringgit, sedangkan media-media di Malaysia masih memaparkan tentang kemiskinan dan ketiadaan rumah.

Begitu sedih apabila dikatakan baru-baru ini hanya enam peratus rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan yang mampu menanggung kehidupan selama enam bulan ke atas.

Putrajaya perlu melihat pada cukai-cukai progresif yang berpotensi untuk dinaikkan atau diwujudkan, seperti cukai laba modal dan cukai durian runtuh.

Cukai progresif ini mampu dijadikan alternatif kepada GST dalam menambahkan pendapatan Kerajaan Persekutuan. Malangnya, demi menjaga golongan kaya termasuklah kumpulan kleptokrat, kerajaan mengenakan cukai GST yang meningkatkan kos sara hidup untuk golongan miskin.

Tuntasnya, kegagalan kerajaan dalam menguatkuasakan undang-undang, membasmi penyelewengan melibatkan wang rakyat, dan memperkenalkan cukai progresif dalam meningkatkan kesamarataan kekayaan akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa melalui pengenalan cukai regresif GST.

*Ahmad Nizam adalah Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang