Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ubi rebus, ikan masin jadi sarapan Azmin

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APRIL: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali membuka tirai program turun padang di daerah ini dengan menikmati sarapan pagi di Warung Parit 1 Timur, Sungai Besar, di sini.

Seawal jam 9 pagi, beliau dan rombongannya tiba di warung yang dikelilingi bendang itu.

Berkemeja putih, Mohamed Azmin disambut Ketua Kampung, Ramli Parmin dan pimpinan setempat.

Sejurus tiba, beliau melayan diri mendapatkan menu permintaannya, ubi rebus dengan ikan masin dan teh ‘O’ panas kurang manis.

Seperti biasa, Mohamed Azmin sempat memenuhi permintaan bergambar daripada pengunjung warung berkenaan.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman.

Selepas setengah jam, Mohamed Azmin bergerak ke lokasi seterusnya di Masjid Sultan Muhammad Shah untuk menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pesawah Padi.

Warung Parit 1 antara lokasi sarapan pagi pilihan dengan menyediakan hidangan seperti roti canai, nasi lemak, mi dan kuih-muih.

-AA-