Categories
GLOBAL

Hina mangsa tsunami, Menteri Kabinet Jepun letak jawatan

TOKYO 26 APRIL: Menteri Kabinet Jepun yang bertanggungjawab memantau proses pembinaan semula kawasan yang musnah akibat tsunami dan bencana loji nuklear di Fukushima pada 2011, meletak jawatan hari ini.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan tindakan itu dilakukan selepas beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan semalam bahawa lebih baik bencana itu berlaku di wilayah timur laut berbanding di Tokyo.

Susulan itu, Masahiro Imamura terpaksa mengumumkan peletakan jawatan di sebuah majlis untuk pembuat undang-undang anjuran parti pemerintah Parti Demokratik (LDP).

Ia adalah insiden terbaru membabitkan pembuat undang-undang parti pemerintah yang berdepan masalah kerana mengambil tindakan atau mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

“Nasib baik bencana ini berlaku di timur laut,” kata Imamura ketika berucap mengenai kos yang terpaksa ditanggung akibat gempa bumi berukuran 9.0 magnitud yang mencetuskan tsunami besar dan meragut hampir 20,000 nyawa itu.

Kenyataan itu dilakukan hanya beberapa minggu selepas Imamura mencetuskan kemarahan dalam satu sidang media apabila mengeluarkan kenyataan menghina penduduk yang berpindah dari Fukushima kerana bimbang akibat bencana nuklear terburuk selepas Chernobyl itu, sebelum mengherdik seorang wartawan dan kemudian bergegas keluar.

Kenyataan Imamura itu mendorong kenyataan maaf serta merta oleh Perdana Menteri Shinzo Abe.

Peletakan jawatan serta-merta itu juga dilihat sebagai usaha untuk meminimumkan impak terhadap pentadbiran kerajaan Abe, yang didakwa bersikap sambil lewa kerana tiada pembangkang yang kuat.

=EZY=