Categories
KENYATAAN MEDIA

Polisi ekonomi BN tekan rakyat

OLEH ONN ABU BAKAR

Saya ambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang begitu gembira kerana dikatakan Malaysia telah disebut sebagai antara negara terbaik dalam perancangan ekonomi dan seiring dengan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Realiti ekonomi Malaysia pada hari ini boleh dilihat dengan permintaan domestik lemah untuk mengekalkan momentum pertumbuhan Ekonomi Malaysia, hutang isi rumah pada tahap yang tidak mampan, nilai ringgit menjunam dan yang lebih membimbangkan kos sara hidup terus meningkat secara drastik malangnya pendapatan isi rumah kekal ditakuk yang lama.

Hari ini, rakyat gagal merasai initipati Rancangan Malaysia disebabkan oleh polisi ekonomi Barisan Nasional yang menekan majoriti rakyat.

Malaysia tidak mempunyai objektif yang jelas mengenai pelan ekonomi negara buat masa sekarang, jika bandingkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970-1990 yang dicipta (meskipun akhirnya sebahagian matlamat DEB itu tidak berjaya).

Terdapat dua perkara asas untuk ekonomi yang penting diambil kira, iaitu inflasi dan kadar pengangguran.

PEKERJA Hakikatnya, Kerajaan Umno BN hari ini gagal untuk mengawal kedua-duanya. Kegagalan kerajaan kawal harga barangan asas serta kekurangan kebolehpasaran graduan jelas ditunjukkan di hadapan rakyat.

Ini tidak termasuk pelbagai kegiatan rasuah, kegagalan amalan’transperancy’, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain yang melibatkan tatakelola buruk kerajaan BN.

Saya difahamkan Kerajaan BN sentiasa berhujah tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai kayu ukur untuk mengatakan ekonomi negara kita sangat baik. Hal ini mengaburi pemikiran rakyat, khususnya golongan yang tidak memiliki pengetahuan makroekonomi.

Realitinya, pada masa kini KDNK tidak memberikan petunjuk terbaik untuk memperlihatkan status semasa ekonomi negara. Terdapat sebilangan ahli ekonomi dunia sudah mengkritik KDNK yang pengirannya dipengaruhi dengan kadar pertukaran mata wang serta pengiraan ‘basket of goods’ yang mewujudkan masalah ketepatan dalam pengukuran.

Pengukuran terbaik bagi Malaysia adalah dengan kekayaannya dan jurang pendapatan. Kerajaan Umno BN sering berbangga dengan hasil melebihi RM200 bilion tetapi sehingga kini masih gagal menangani isu kemiskinan rakyatnya.

Ke manakah wang itu dibelanjakan? Adakah sebahagian besarnya dimanfaatkan oleh golongan kaya termasuklah sang kleptokrat?

Kita tidak perlu menunggu sehingga 2050 untuk menjadi sebuah negara moden. Apa yang dirisaukan akan ada lebih banyak negara moden menjadi lebih maju daripada kita pada tahun 2050.

Berhentilah berbual kosong dan ketengahkan usaha. Seperti pepatah bahasa inggeris, “action speaks louder than words (tindakan lebih memberi kesan daripada perkataan)”.

* Onn Abu Bakar adalah Penyelaras Parlimen Sembrong / Ahli Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan KEADILAN