Categories
NASIONAL

Jual ekuiti Proton umpama jual aset negara

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyifatkan penguasaan majoriti saham 51 peratus ekuiti oleh pelabur luar umpama kerajaan melepaskan kepentingan harta intelek.

ADUN Teja, Chang Lih Kang berkata, pemilikan status kereta nasional sejak sekian lama mungkin tinggal sejarah selain kehilangan hak jenama, paten, reka bentuk dan logo.

“Malang sungguh rakyat Malaysia hari ini kerana bertuan kerajaan yang mahu ‘jual’ aset strategik kepada pelabur asing.

“Penjualan ekuiti itu bakal memberi kesan rantaian besar kepada golongan pekerja dan industri automobil tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chang Lih KangLih Kang berkata, KEADILAN juga khuatir kehilangan pekerjaan anak tempatan kerana pelabur luar lebih cenderung  mengambil pekerja asing dari negara membangun atau mundur ekoran faktor kos buruh.

Katanya, bagi pekerjaan profesional pula, pelabur luar dijangka lebih cenderung mengambil pekerja asing dari negara maju seperti Jepun yang mempunyai kepakaran lebih tinggi berbanding pekerja tempatan.

“Ini bukan bermakna negara kita tidak ada kepakaran tenaga profesional berkelayakan tetapi Malaysia mengalami masalah ‘Brain Drain’ iaitu ramai antara mereka bekerja di luar negara.

“KEADILAN juga tertanya-tanya sama ada Menteri Kewangan tidak arif mengenai saham ataupun terpaksa menyembunyikan fakta demi survival politik?

“Atau, adakah penjualan saham Proton itu semata-mata menutup kejayaan sekaligus memadam legasi Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini Pengerusi Parti BERSATU?” soalnya.

proton_logoLih Kang berkata, sepatutnya kerajaan mengutamakan pembangunan kemahiran pekerja terutama dalam reka bentuk dan keselamatan produk serta memperluaskan strategi pemasaran.

“KEADILAN menegaskan peri pentingnya mengamalkan konsep tender terbuka, selain memastikan paling kurang 51 peratus saham Proton dikuasai pelabur tempatan, bukannya pelabur luar.

“Perlu diingat, kerajaan Umno BN juga harus menurunkan harga kereta nasional seperti dijanjikan kepada rakyat dalam manifesto PRU-13,” katanya.

-nR-