Categories
KENYATAAN MEDIA

Kapal China ceroboh perairan Sarawak, kenapa kerajaan terus membisu?

OLEH LAKSAMANA PERTAMA (B) MOHAMAD IMRAN ABD HAMID

Saya melahirkan kebimbangan terhadap pencerobohan kapal China di perairan Sarawak yang dilaporkan semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Saya merujuk laporan The Guardian, bertarikh 5 April lalu bertajuk ‘Chinese patrol ships keep presence around Malaysian reefs’, yang turut dilaporkan beberapa portal berita tempatan seperti Malaysiakini dan Free Malaysia Today (FMT).

Menurut laporan itu, dalam tempoh 2 bulan pertama 2017, 3 kapal China didapati meronda di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), 145 kilometer dari Sarawak dan lebih 1,600 kilometer dari tanah besar China.

1. Berikutan pencerobohan ini saya ingin mengutarakan soalan, mengapakah Kementerian Pertahanan di bawah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memilih untuk berdiam diri dan enggan memberi sebarang reaksi di dalam situasi yang menyentuh kedaulatan perairan negara?

2. Kerajaan dan Kementerian Pertahanan sepatutnya bertegas bagi menjaga perairan Sarawak. Tidakkah kerajaan ingat kejadian pencerobohan kapal China yang berlaku pada 2015 lalu?

3. Seperti kita sedia maklum, China sedang mengusahakan projek perluasan sempadan negara mereka kononnya atas faktor ‘sejarah’. Mereka telah melakar peta Laut China Selatan (LCS) beserta ‘Sembilan Garis Putus-putus (9GP). Sebahagian daripada tuntutan mereka adalah termasuk Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) di Sarawak.

4. Beting Patinggi Ali yang terletak kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram jelas berada dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) dan ia adalah milik Malaysia berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang- Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

5. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri pernah mengatakan tuntutan China atas faktor ‘sejarah’ itu mengarut dan tidak boleh diterima pakai. Jadi, apa kesudahan bantahan diplomatik yang dibuat ke atas China beberapa tahun lalu?

6. Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan supaya bertegas dalam hal ini demi menjaga perairan negara. Hal ini merupakan perkara amat serius dan jika kita bersikap acuh tidak acuh kepada tindakan agreasif China, ia mungkin memberi ancaman kelak. Apakah kita mahu melihat satu lagi episod siri drama ketegangan geopolitik di rantau ini?

7. Lebih menggusarkan, hal ini juga akan memberi kesan kepada aktiviti perikanan nelayan rakyat tempatan yang tidak selesa dan gusar untuk meneruskan aktiviti ekonomi. Terdapat laporan beberapa tahun kebelakangan ini bahawa nelayan kita di halau di Beting Patinggi Ali oleh kapal China dan ia dibuktikan berdasarkan laporan Borneo Post pada Oktober 2015.

Adakah kita mahu melihat nelayan tempatan hilang mata pencarian kerana sumber rezeki mereka disekat pihak asing?

# Laksamana Pertama (B) YB Mohamad Imran Abd Hamid adalah Ahli Parlimen Lumut