Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPS bersih depoh simpanan kereta buruk

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 27 APR: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengosong dan membersihkan depoh simpanan kereta buruk yang terletak berhampiran Stadium MPS sebagai persiapan Sukan SEA ke-29, pada Ogos ini.

Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pihak berkuasa dan kerja pengosongan dimulakan, pada 25 April lalu.

Katanya, kerja pengosongan mengambil masa antara tiga minggu atau sebulan yang perlu dijalankan secara berperingkat bagi mengeluarkan kereta buruk itu.

MPS Suliman_Abd_Rahman“Sejurus selesai kerja pengosongan, kita akan melaksanakan kerja pembersihan kawasan terbabit untuk menjalankan aktiviti riadah bersesuaian.

“Proses pelupusan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan lambakan kereta terbiar dapat diselesaikan,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat penuh MPS di Bangunan MPS, di sini, semalam.

Suliman berkata, sebanyak 257 kenderaan buruk ditempatkan di depoh itu dan 145 daripada jumlah berkenaan sudah dikeluarkan untuk pelupusan selepas selesai urusan dengan polis.

Pada masa sama, Suliman berkata, MPS mengeluarkan peruntukan RM300,000 bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf stadium, menjelang Sukan SEA.

Antara kerja naik taraf membabitkan penggantian kerusi penonton, mengecat, lanskap dan pintu gerbang.

-NFN-