Categories
AGENDA NASIONAL

Kapal ditemukan di Lipis dianggar usia sekitar abad ke-18

KUANTAN, 16 JAN: Rangka kapal yang ditemukan selepas banjir surut di Kampung Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini pada dua hari lalu, dianggarkan dibina pada abad ke-18 dan 19.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mesran Mohd Yusop berkata kapal yang diperbuat daripada binaan kayu dan tembaga itu berkemungkinan besar ialah kapal dagang milik Inggeris atau digunakan oleh pembesar pada zaman tersebut.

Ia berdasarkan penemuan kepingan plat besi bertulis Vivian & Son pada 1824, iaitu syarikat yang ditubuhkan bagi menjalankan operasi peleburan tembaga pada 1809 sebelum berkembang menjadi rumah peleburan terkemuka pada 1820.

Syarikat itu dipercayai mengalami zaman kejatuhan pada akhir abad ke-19 dan merosot pada awal abad ke-20 dan pada 1924, ia bergabung menjadi British Copper Manufacturers Limited yang kemudiannya diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.

“Pemeriksaan pada bahagian dalam kapal tidak menemukan artifak melainkan serpihan seramik buat masa ini. Namun, pihak kami mendapati terdapat kesan kapal itu telah diganggu dipercayai oleh mereka yang mengambil komponen seperti paku atau dinding kapal disalut tembaga.

“Kita percaya barangan tersebut dijual kepada pembeli barangan lusuh kerana semalam, selepas dinasihatkan polis, sebuah syarikat barangan lusuh telah memulangkan komponen yang dianggarkan seberat 100 kilogram yang dijual kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mesran memohon mereka yang menyimpan komponen atau barangan diambil dari kapal tersebut untuk segera memulangkannya kepada polis memandangkan ia adalah sebahagian daripada warisan negara.

Mesran berkata JWN juga akan memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan rangka kapal itu bagi tujuan penyelidikan dan pencarian bukti sejarah, dan bagi tujuan itu, rangka kapal tersebut akan dipindahkan ke Muzium Warisan Kuala Lipis.

“Bagaimanapun, sementara kapal itu masih berada di lokasi penemuan, kami akan meminta bantuan polis untuk terus memantau lokasi tersebut bagi mengelakkan berlaku lagi insiden pencerobohan atau kehilangan objek,” katanya.

Rangka kapal itu ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom pada Khamis lepas (14 Januari) dipercayai kesan akibat banjir yang melanda kampung tersebut pada 3 Januari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kapal asing berlabuh di Labuan, penduduk setempat tidak perlu risau

LABUAN, 19 FEB: Tiada misteri yang menyelubungi kehadiran empat kapal yang berlabuh berhampiran dengan jeti Asian Supply Base di sini, yang kelihatan seperti ditinggalkan begitu sahaja oleh pemiliknya, sebagaimana tular di platform media sosial.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah berkata tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai kehadiran kapal itu kerana pihak berkuasa telah menjalankan pelbagai langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan urusan yang berkaitan dengan kru kapal berkenaan.

“Tidak perlu panik, kami difahamkan kapal itu telah berada di perairan Malaysia sejak empat tahun lepas, dan di sekitar perairan Labuan ini sejak bulan Mei tahun lepas. Kru kapal itu tidak pernah kembali ke negara asal mereka sejak tarikh berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Semalam satu laporan sebuah akhbar nasional mempersoalkan kehadiran kapal Yue Yuan Yu 219, YueYuan Yu 220, Zhong Yue 22 dan Zhong Yue 23, yang berada di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya menimbulkan persoalan mengenai kru kapal dibimbangi memasuki negara secara tidak sah kerana enggan kembali ke negara asal yang dilanda wabak koronavirus 2019 (Covid-19) ketika ini.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

27 maut, pesawat Bangladesh terhempas di Nepal

KATHMANDU 12 MAC: Sekurang-kurangnya 27 orang terkorban apabila sebuah pesawat penumpang Bangladesh terhempas di sini hari ini, kata pihak berkuasa.

Jurucakap tentera, Gokul Bhandaree berkata, peluang untuk menyelamatkan mangsa bagaimanapun agak tipis kerana pesawat terbakar.

“Peluang untuk menyelamatkan sesiapa yang masih hidup agak tipis kerana pesawat teruk terbakar,” kata Bhandaree yang mengesahkan angka kematian.

Terdahulu, seorang pegawai lain berkata, 20 mangsa yang cedera sudah dibawa ke hospital.

Seramai 67 penumpang dan empat kru menaiki pesawat US-Bangla Airlines dari Dhaka sebelum terhempas ke padang bola sepak berhampiran lapangan terbang.

Asap hitam tebal dapat dilihat berkepul-kepul dari padang terbabit sehingga ke timur landasan di lapangan terbang antarabangsa tunggal Nepal di sini.

“Polis dan tentera cuba memotong bahagian pesawat untuk menyelamatkan mangsa lain,” kata jurucakap lapangan terbang, Prem Nath Thakur.

SUMBER: AFP

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kapal China ceroboh perairan Sarawak, kenapa kerajaan terus membisu?

OLEH LAKSAMANA PERTAMA (B) MOHAMAD IMRAN ABD HAMID

Saya melahirkan kebimbangan terhadap pencerobohan kapal China di perairan Sarawak yang dilaporkan semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Saya merujuk laporan The Guardian, bertarikh 5 April lalu bertajuk ‘Chinese patrol ships keep presence around Malaysian reefs’, yang turut dilaporkan beberapa portal berita tempatan seperti Malaysiakini dan Free Malaysia Today (FMT).

Menurut laporan itu, dalam tempoh 2 bulan pertama 2017, 3 kapal China didapati meronda di Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), 145 kilometer dari Sarawak dan lebih 1,600 kilometer dari tanah besar China.

1. Berikutan pencerobohan ini saya ingin mengutarakan soalan, mengapakah Kementerian Pertahanan di bawah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memilih untuk berdiam diri dan enggan memberi sebarang reaksi di dalam situasi yang menyentuh kedaulatan perairan negara?

2. Kerajaan dan Kementerian Pertahanan sepatutnya bertegas bagi menjaga perairan Sarawak. Tidakkah kerajaan ingat kejadian pencerobohan kapal China yang berlaku pada 2015 lalu?

3. Seperti kita sedia maklum, China sedang mengusahakan projek perluasan sempadan negara mereka kononnya atas faktor ‘sejarah’. Mereka telah melakar peta Laut China Selatan (LCS) beserta ‘Sembilan Garis Putus-putus (9GP). Sebahagian daripada tuntutan mereka adalah termasuk Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) di Sarawak.

4. Beting Patinggi Ali yang terletak kira-kira 80 batu nautika dari Tanjung Baram jelas berada dalam kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) dan ia adalah milik Malaysia berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang- Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

5. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri pernah mengatakan tuntutan China atas faktor ‘sejarah’ itu mengarut dan tidak boleh diterima pakai. Jadi, apa kesudahan bantahan diplomatik yang dibuat ke atas China beberapa tahun lalu?

6. Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan supaya bertegas dalam hal ini demi menjaga perairan negara. Hal ini merupakan perkara amat serius dan jika kita bersikap acuh tidak acuh kepada tindakan agreasif China, ia mungkin memberi ancaman kelak. Apakah kita mahu melihat satu lagi episod siri drama ketegangan geopolitik di rantau ini?

7. Lebih menggusarkan, hal ini juga akan memberi kesan kepada aktiviti perikanan nelayan rakyat tempatan yang tidak selesa dan gusar untuk meneruskan aktiviti ekonomi. Terdapat laporan beberapa tahun kebelakangan ini bahawa nelayan kita di halau di Beting Patinggi Ali oleh kapal China dan ia dibuktikan berdasarkan laporan Borneo Post pada Oktober 2015.

Adakah kita mahu melihat nelayan tempatan hilang mata pencarian kerana sumber rezeki mereka disekat pihak asing?

# Laksamana Pertama (B) YB Mohamad Imran Abd Hamid adalah Ahli Parlimen Lumut

Categories
NASIONAL

Vier Harmoni bawa diesel RM1.57 juta ‘hilang’ dirampas?

SHAH ALAM 17 OGOS: Kapal kargo Vier Harmoni yang membawa 900,000 liter diesel dilaporkan dirampas disyaki dilarikan di perairan Pelabuhan Kuantan.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar, berkata kapal kargo itu membawa nilai diesel berjumlah RM1.57 juta.

“MTVierHarmoni didaftarkan di Batam dilaporkan hilang, disyaki dilarikan di perairan Kuantan Port. APMM lancar siasatan.

“#MTVierHarmoni. Pagi tadi rakan sejawat Indonesia telah dihubungi untuk bersama menjejaki. Kini MT VH disahkan berada di perairan Batam.

#MTVierHarmoni bersama muatan dipercayai dibawa lari ke Batam membawa 900,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1.57juta,” tulis Ahmad Puzi ditwitternya.

Katanya,  siasatan awal menunjukkan kapal dilarikan atas sebab masalah dalaman sementara siasatan lanjut sedang dilaksanakan.

EZY

JURNAL BERITA – MB : RM10juta bina infra pam air ke Sungai Selangor

1. MB: Peruntukkan RM10 juta, bina infra untuk pam air ke Sg Selangor

2. MB: MOU air bukan rahsia, rakyat boleh teliti dokumen

3. KEMASKINI: Adun dan media dihalang lawat Empangan Sungai Selangor

4. Wan Azizah: Perancangan jahat Umno halang Anwar jadi Presiden PKR

5. Sultan Selangor terima Zakat Perniagaan Bank Rakyat RM4.47 juta

6. Tian: Kapal disamun dekat Pulau Ketam, apa sudah jadi keselamatan negara?

7. Nurul Izzah: Perjelaskan perjanjian projek janakuasa, elak kerugian

8. Anwar: Penyebaran fitnah tahlil untuk Karpal perbuatan ‘macai’ Umno

9. Geran Mosti: Kos projek RM130 juta tapi dapat RM150 juta

10. Harga Getah terus jatuh, peneroka tekad demo di kubu kuat Umno

11. MH370: Tolak kaji selidik Merdeka Center, menteri tak hormat pandangan rakyat

12. Peguam: Mahkamah tolak masa rayuan kes Anwar, tak simpati kematian Karpal

13. Saingan sengit Timb. Presiden PKR, demokrasi dalam parti

14. PKR sasar tambah 50,000 ahli baru masyarakat Tionghua dalam 5 tahun