OLEH LIZAWATI MADFA
HULU LANGAT, 10 APR: Lebih 1,000 buah tangan diedar kepada kaum India sempena sambutan Tahun Baru India atau perayaan ‘Puthandu’ di sekitar DUN Bangi, baru–baru ini.
Ahli Dewan Negerinya, Shafie Ngah berkata, pihaknya menghadiahkan hamper dan manisan menerusi siri ziarah yang diadakan dua minggu berturut-turut, pada setiap Sabtu dan Ahad.
Katanya, ia merangkumi penduduk India di Bukit Mewah, Taman Sri Intan, Taman Kajang Sentral, Taman Bukit Kajang Baru, Taman Jasmin, West Country, Council Homes dan Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.
“Sebelum ini, kita juga santuni kaum Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina. Sekarang, kita santuni pula kaum India bagi menyatakan kebersamaan kita dengan mereka.
“Mereka juga menyatakan kegembiraan dengan apa yang kita raikan dan berharap Kerajaan Negeri sedia ada dikekalkan pada masa hadapan,” katanya kepada Selangor Kini.
Edaran buah tangan itu adalah anjuran pejabat DUN Bangi dan PAS Serdang.
Pada tahun ini, Puthandu disambut selaras dengan kalendar suria Hindu, pada 14 April ini.
-NFN-