Categories
SELANGOR

Pemaju janji atasi kesulitan pejalan kaki

OLEH LIZAWATI MADFA

BANGI, 7 OGOS: Pemaju Andaman PKNS sedia mengambil tindakan sewajarnya berhubung aduan penduduk mengenai pagar yang dibina di laluan pejalan kaki di Bandar Baru Bangi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Shafie Ngah berkata, penduduk dan orang ramai juga diharap dapat bersabar dan memberi masa kepada pemaju untuk menangani masalah diajukan dengan sebaiknya.

“Kami diberitahu pagar itu dibina bagi tujuan keselamatan orang awam seperti melindungi daripada aktiviti jenayah ragut.

2017-08-07-PHOTO-00000278“Bagaimanapun, ia dibina begitu panjang dan tanpa pintu masuk dan keluar menyebabkan kesulitan kepada orang awam untuk bergerak dengan cepat ke sesuatu destinasi.

“Jadi, penduduk minta pemaju dapat sediakan pintu di antara pagar berkenaan bagi memudahkan penduduk,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam bagi melihat sendiri keadaan di pusat bandar, Bandar Baru Bangi itu.

Turut serta, wakil pemaju dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi serta Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Shafie berkata, penduduk turut mengadu ketiadaan ‘zebra-crossing’ yang turut menyukarkan penduduk melintas jalan terutama ketika kesesakan trafik.

“Jadi, kita berharap pemaju turut mengambil perhatian aduan ini kerana pusat bandar ini menggunakan sistem jalan sehala.

“Apabila sistem jalan sehala, maka ‘zebra-crossing’ sememangnya diperlukan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Perjalanan panjang, konsesi patut beri diskaun tol

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Konsesi lebuhraya perlu memberi diskaun 30 peratus atau 50 peratus jika perjalanan mengambil masa lebih panjang dari yang sepatutnya.

Pengerusi Pertubuhan Penggerak Hasrat Rakyat (HASRAT), Shafie Ngah berkata, beliau menyarankan perkara itu melihat keadaan kesesakan di lebuhraya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidifitri.

“Kalau kita makan di restoran dan makanan dihidangkan basi, kita tidak perlu bayar dan tuan kedai tidak boleh beri alasan pelanggan terlalu ramai.

“Lebuhraya dibina untuk memberi keselesaan kepada pengguna dan mempercepatkan perjalanan mereka, namun sekiranya perjalanan mengambil masa lebih panjang maka pemegang konsesi lebuhraya telah gagal menyediakan perkhidmatan keselesaan kepada pengguna.

“Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 3 jam menjadi 6 jam akibat kesesakan,” katanya dalam kenyataan.

Shafie yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, beliau yakin syarikat konsesi tidak akan menanggung kerugian kerana trafik akan meningkat berlipat kali ganda pada musim-musim tersebut.

“Rakyat telah dibebankan dengan kenaikan tol maka mereka tidak seharusnya didera secara berterusan,” katanya.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Ziarah Anda Di Hati Kami taut uhkuwah warga Bangi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUN: Kehadiran Ramadan terus disemarak dengan aktiviti kegemaran Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafie Ngah iaitu Ziarah Anda Di Hati Kami.

SHAFIE NGAH ZIARAH (2)Pada 3 Jun lalu, tujuh keluarga di Sungai Ramal dikunjung dan disantuni Shafie yang turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas, wang tunai serta kerusi roda bagi golongan memerlukan.

“Ini aktiviti wajib kita dalam usaha meringankan beban dan mengukir sedikit senyuman, pada wajah mereka.

“Kebiasaannya kita menziarahi warga emas yang terlantar sakit, pesakit buah pinggang, strok atau penyakit kronik lain serta warga asnaf dan ibu tunggal,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, Shafie turut berkesempatan mengunjungi lebih 40 daripada 120 masjid dan surau yang terdapat di DUN Bangi, sejak awal Ramadan lalu.

“Kita lakukan aktiviti berbuka puasa dan solat terawih bersama-sama secara berjemaah. Bagi saya, ia antara landasan utama untuk berjumpa dengan masyarakat dan mendengar permasalahan mereka.

“Secara tidak langsung, silaturrahim antara pimpinan dan rakyat juga dapat dieratkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kaum India DUN Bangi disantuni

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 10 APR: Lebih 1,000 buah tangan diedar kepada kaum India sempena sambutan Tahun Baru India atau perayaan ‘Puthandu’ di sekitar DUN Bangi, baru–baru ini.

DUN BANGI KAUM INDIA (2)Ahli Dewan Negerinya, Shafie Ngah berkata, pihaknya menghadiahkan hamper dan manisan menerusi siri ziarah yang diadakan dua minggu berturut-turut, pada setiap Sabtu dan Ahad.

Katanya, ia merangkumi penduduk India di Bukit Mewah, Taman Sri Intan, Taman Kajang Sentral, Taman Bukit Kajang Baru, Taman Jasmin, West Country, Council Homes dan Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.

“Sebelum ini, kita juga santuni kaum Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina. Sekarang, kita santuni pula kaum India bagi menyatakan kebersamaan kita dengan mereka.

“Mereka juga menyatakan kegembiraan dengan apa yang kita raikan dan berharap Kerajaan Negeri sedia ada dikekalkan pada masa hadapan,” katanya kepada Selangor Kini.

Edaran buah tangan itu adalah anjuran pejabat DUN Bangi dan PAS Serdang.

Pada tahun ini, Puthandu disambut selaras dengan kalendar suria Hindu, pada 14 April ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Umat Islam mesti jadi kaya

OLEH LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 10 APR: Peserta HIJRAH Selangor diseru untuk konsisten dengan perniagaan dijalankan dan tidak mudah berputus asa dengan cabaran mendatang.

HIJRAH BANGI (3)Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafie Ngah berkata, peserta juga diingatkan untuk tidak terpedaya dengan sebarang ‘jalan pintas’ dalam perniagaan.

“Ada sesetengah peserta yang berhenti sekerat jalan, sedangkan jangan mudah berputus asa dalam apa juga yang kita lakukan.

“Islam melalui nabi mengajar kita untuk menjadi kaya kerana boleh bantu dan biaya orang lain terutama keluarga terdekat,” katanya pada Majlis Penyerahan Baucer HIJRAH di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Majlis menyaksikan sejumlah RM450,000 diserah kepada kira-kira 40 peserta dan turut dihadiri Pengurus HIJRAH Zon 2, Mohd Asri Hamid.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, caj lapan peratus dikenakan HIJRAH adalah sebagai caj perkhidmatan dan pengurusan.

“Caj diputuskan melalui kiraaan bukan ditetapkan begitu saja.

“HIJRAH tidak mengenakan sebarang caj tambahan walaupun terdapat peserta yang membayar lewat daripada jadual,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DNS jatuh hukuman pencelaan pertama

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Dewan Negeri Selangor (DNS) buat pertama kalinya, menjatuhkan hukuman berbentuk pencelaan (admonishment), terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, hari ini.

Hukuman dibacakan Timbalan Speaker, Shafie Ngah dengan Mat Nadzari diarahkan berdiri di hadapan DNS.

“Berdasarkan penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan dewan, Yang Berhormat didapati bersalah dan akan dihukum melalui pencelaan atau ‘admonishment’ di dewan ini,” katanya di DNS, di sini.

Terdahulu, lebih lima wakil rakyat menyertai perbahasan usul dibentang ADN Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar yang mengesyorkan supaya hukuman berbentuk pencelaan dikenakan terhadap Mat Nadzari.

Selain Xavier, jawatankuasa berkenaan turut dipengerusikan Speaker DNS, Hannah Yeoh dan dianggotai Dr Yaakob Sapari, Hasnul Baharuddin, Mohd Haslin Hassan, Tiew Way Keng dan Datuk Johan Abdul Aziz.

Ketika membacakan hukuman, Shafie turut memberikan beberapa teguran termasuk tuntutan berfikir dan mengkaji sebelum membuat ucapan.

“Yang Berhormat juga diingatkan agar jangan berprasangka buruk apatah lagi apabila melibatkan institusi beraja.

“Pejabat Speaker juga menyediakan unit penyelidik yang boleh membantu ADN membuat kajian berkenaan hal ehwal perbahasan DNS.

“Amat aneh dan mengecewakan Yang Berhormat memilih untuk tidak membuat kajian komprehensif mahupun menggunakan kemudahan disediakan ini,” katanya.

Pada 1 November 2016, Mat Nadzari ketika berucap di DNS antara lain berkata terdapat sebahagian komponen pentadbiran negeri berniat untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan.

Berdasarkan kenyataan itu, pada 10 November 2016, ADN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim membawa usul untuk merujuk Mat Nadzari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Industri tekstil berkembang pesat di Bangi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JULAI: Perkembangan pesat perniagaan tekstil di Bangi sejak kebelakangan ini disambut baik ekoran mampu menjana ekonomi penduduk setempat di daerah yang majoritinya penduduk Islam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Shafie Ngah, berkata kawasan itu dijadikan lokasi kedua selepas ‘Bandar Fesyen Islam Antarabangsa’ berpusat di Seksyen 7, Shah Alam sebagai tumpuan orang ramai untuk membeli belah produk tekstil.

SHAFIE“Warga Bangi mengalu-alukan kehadiran banyak perniagaan tekstil di sini terutama berorientasikan pakaian Melayu dan Islam.

“Bangi mempunyai banyak ruang dan potensi untuk itu, lebih-lebih lagi kawasan ini dihuni penduduk hampir 100,000 orang dengan majoritinya adalah Melayu dan Islam,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Shafie turut berharap para peniaga mampu bersaing secara sihat sekali gus memberi manfaat kepada pengguna dalam keadaan harga barang semakin mahal.

Bangi kian popular dalam kalangan penggemar fesyen Islam apabila semakin banyak perniagaan tekstil di buka dengan menawarkan pelbagai pilihan.

Keadaan itu turut menarik perhatian golongan artis untuk berniaga seperti Noorkhiriah, Azza Elite dan Lan Kristal bagi memperkenalkan jenama masing-masing.

-AA-

Mimpi Ngeri ‘Satay’ Mayat Berakhir

Kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang projek pembakaran mayat terutama di lokasi yang boleh menimbulkan ketidakselesaan penduduk – ADN Bangi, Shafie Ngah.

Categories
SELANGOR

Kekalkan tanah perkuburan bukan Islam

SHAH ALAM, 22 APR: Wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming menyokong pembatalan Projek Pelupusan Mayat yang ingin dibangunkan syarikat swasta di Kajang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bangi, Shafie Ngah, berkata keputusan itu dicapai menerusi satu sesi dialog berhubung isu berkenaan, baru-baru ini.

Shafie NgahKatanya, keputusan dicapai turut mencadangkan projek membakar atau menyimpan mayat itu dibangunkan di kawasan lain yang lebih sesuai.

“Tapak yang dipilih sebelum ini berdekatan dengan sekolah agama, surau Taman Jasmin, tadika dan tujuh perumahan yang saling berdekatan.

“Bagaimanapun, kami tidak menghalang sebarang protes awam terhadap isu ini asalkan berlandas lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain Shafie dan Kian Ming, sesi dialog berkenaan turut disertai Senator T Chandra Mohan.

Sebelum ini, orang ramai membantah projek membangunkan tapak pembakaran mayat dan krematorium yang bersifat komersial di Kajang.

Berhubung isu penyalahgunaan tanah yang dibangkitkan, Shafie berkata, tanah berkenaan sudah diwartakan sebagai tanah perkuburan bukan Islam, sejak 1928.

“Banyak kubur ada di kawasan itu sebelum wujud taman perumahan. Jadi, tiada isu berkenaan hak dan salah guna tanah,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pas Selangor tak goyah

SHAH ALAM, 3 OKT: PAS Selangor sama sekali tidak goyah dengan penubuhan Pakatan Harapan, tegas Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (Pakatan) juga masih terpakai di negeri itu seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sebelum ini.

khairuddin othmanKatanya, kenyataan itu menjadi panduan buat wakil rakyat dan ahli PAS berkhidmat penuh komitmen memajukan Selangor.

“Kami terima baik pandangan Mohamed Azmin yang menyatakan hanya Pakatan terpakai di Selangor.

“Jadi, PAS Selangor akan terus menjalankan tugas seperti biasa termasuk berbincang dengan rakan PKR dan DAP dalam urusan hal ehwal negeri,” katanya dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilapor berkata terpulang kepada PAS sama ada mahu keluar atau kekal dalam Kerajaan Selangor.

shafie ngahSementara itu, Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Shafie Ngah turut menegaskan PAS tidak akan menarik diri dan akan terus kekal bersama mentadbir negeri itu.

“PAS tidak boleh menarik diri kerana wakil rakyat kami mempunyai amanah besar melaksanakan mandat rakyat.

“Kami juga percaya mana-mana parti di negeri ini tidak boleh memerintah secara bersendirian kecuali melalui kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Shafie : Kesepakatan Pakatan Rakyat Di Selangor perlu dicontohi

YB Shafie Ngah memnyampaikan ucapan terima kasih di atas ucapan dasar Presiden PAS berkata kesepakatan kerajaan Selangor membangunkan negeri termaju wajar dicontohi.

Categories
SELANGOR

Adun: Orang ramai tidak suka jualan borong minuman keras

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Cadangan sebuah syarikat menjual minuman keras secara borong di satu pasar raya di Bandar Baru Bangi mendapat respons negatif orang ramai khususnya masyarakat Islam di bandar berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Shafie Ngah berkata, respons jelas menunjukkan rasa tidak puas hati dan tidak bersetuju orang-ramai dengan tindakan syarikat berkenaan.

shafie ngah“Isu permohonan menjual arak di Bandar Baru Bangi sebagaimana yang telah disiarkan beberapa akhbar semalam (8 November) menunjukkan ada golongan masyarakat yang membantah permohonan itu,” katanya.

Shafie berkata, rujukan dibuat ke Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat mendapati ia adalah prosedur biasa mengenai keperluan sesebuah syarikat atau mana-mana pemohon menyiarkan cadangan permohonannya di akhbar tempatan untuk mendapatkan maklum balas orang awam.

“Proses baru bermula dan belum ada permohonan rasmi ke lembaga berkenaan,” katanya.

Pada 8 November lepas, Sinar Harian melaporkan, Pemuda Umno Serdang menyatakan bantahan keras terhadap permohonan lesen sebuah syarikat yang ingin menjadikan gudang pasar raya di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi sebagai stor menjual minuman keras secara borong.

Ketua Pemudanya, Ahmad Yani Ahmad Aziz berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai permohonan dibuat kepada Pengerusi Lembaga Perlesenan Daerah Hulu Langat itu dalam bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu beberapa hari lalu.