Categories
SELANGOR

Putrajaya iktiraf Rawang bandar selamat 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 APR: Pusat Bandar Rawang dipilih sebagai Projek Bandar Selamat 2017 bagi kerja pemulihan kawasan ‘blackspot’ jenayah membabitkan peruntukan RM400,000.

RAWANG (1)Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei berkata, peruntukan di bawah Kementerian Dalam Negeri itu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan berkenaan.

“Tender projek dijangka siap dalam bulan ini dan kerja naik taraf dijangka siap, pada Jun ini.

“Tempoh penilaian enam bulan akan diadakan selepas projek bandar selamat ini siap dengan tumpuannya terarah untuk melihat keberkesanan dalam mengurangkan kadar jenayah di Pusat Bandar Rawang,” katanya di Facebook.

Sementara itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah peruntukan kepada Majlis Perbandaran Selayang bagi kerja pemasangan unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit sebagai menyokong usaha berkenaan.

“MPS kini juga mempunyai 50 unit CCTV dalam kawasannya melalui peruntukan Kerajaan Negeri bagi membantu memantau aktiviti jenayah dan sosial,” katanya.

Difahamkan, lanjutan perancangan kini sudah mencapai fasa kedua sebelum gerak kerja pembaikan dijalankan pihak kontraktor.

Terdahulu, Pei Nei bersama Pegawai Pusat Khidmat Rawang, Kumaran Adakalam dan Pegawai Jabatan Perancang Bandar, Letchumanan turun padang meninjau pembangunan projek berkenaan, pada 10 April lalu.

-NFN-