Categories
NASIONAL

Kementerian Pendidikan perlu struktur semula tugasan guru

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Kementerian Pendidikan digesa melakukan penstrukturan semula tugasan guru yang kini lebih dibebankan dengan tugasan pentadbiran.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mendapat banyak maklum balas mengenai guru yang terbeban dengan tugasan pentadbiran selain terpaksa menghadiri kursus ketika sesi pembelajaran.

“Sudah tiba masanya kementerian untuk merombak semula pembahagian tugas di sekolah kerana kebelakangan ini guru bukan sahaja dibebankan tugas pentadbiran bahkan dibebankan mencari dana untuk sekolah.

“Diarap kita dapat memikirkan perancangan progresif supaya guru dapat menumpukan masa kualiti untuk ajar anak kita di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi jawapan lisan Dewan Rakyat.

Katanya, sistem pembelajaran sedia ada juga perlu distruktur semula selari dengan sasaran negara berpendapatan tinggi dengan mengambil model pembelajaran daripada negara maju kerana pelajar masa kini lebih terdedah kepada teknologi baru.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong mencadangkan supaya kementerian menambah jumlah guru sekolah di kawasan pedalaman.

=EZY=