Categories
NASIONAL

Kerajaan didakwa tidak serius tangani pengangguran

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Kerajaan Persekutuan didakwa tidak serius menangani masalah pengangguran dalam kalangan graduan apabila mengatakan fenomena itu adalah perkara biasa di setiap negara membangun.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS), Hee Loy Sian berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot di Parlimen, hari ini.

“Sekarang kita mengalami satu isu yang sangat serius iaitu tahap pengangguran sangat tinggi dalam kalangan graduan dan belia.

“Kita jangan hanya melihat kepada peratusan sahaja tetapi perlu merujuk jumlah graduan dan belia yang menganggur. Angkanya sangat membimbangkan.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak serius menangani isu yang membelengu rakyat di negara ini,” katanya.

HEETerdahulu, dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Richard Riot menyatakan kadar pengangguran pada 2015 meningkat 1.2 peratus iaitu 273,600 berbanding 248,000 pada 2014.

Pada masa sama, Loy Sian turut mempersoalkan peningkatan gaji permulaan graduan yang tidak setimpal dengan kos sara hidup, ketika ini.

“Dimaklumkan gaji permulaan graduan 2017 adalah RM2,000 berbanding 90-an sebanyak RM1800.

“Selama 22 tahun, kadar gaji hanya meningkat lebih kurang RM200 sahaja. Sekarang mi goreng pun RM5, kalau dulu hanya RM2 sahaja,” katanya.

-AA-