Categories
NASIONAL

Selama 22 tahun gaji graduan cuma naik RM200

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Permulaan gaji graduan perlu diberikan perhatian khusus Kerajaan Persekutuan ekoran permulaan gaji pada 2017 adalah RM2,000 berbanding tahun 90-an RM1,800.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian berkata, selama 22 tahun ini, kadar gaji hanya meningkat lebih kurang RM200 sahaja.

“Sekarang mee goreng pun berharga RM5, kalau dulu hanya RM2 sahaja,” katanya di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya Kerajaan Persekutuan perlu pada masa sama serius menangani masalah pengangguran.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot menyatakan fenomena pengangguran graduan perkara biasa setiap negara membangun membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak serius menangani isu itu.

“Sekarang kita mengalami isu serius iaitu tahap pengangguran tinggi di kalangan graduan dan belia.

“Kita jangan hanya melihat kepada peratusan sahaja tetapi perlu merujuk angka jumlah bilangan graduan dan belia menganggur. Angkanya sangat membimbangkan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak serius untuk menangani isu yang membelenggu rakyat negara ini,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Richard Riot menyatakan kadar pengangguran pada 2015 meningkat 1.2 peratus iaitu 273,600 berbanding 248,000 pada 2014.

=EZY=