OLEH DATIN PADUKA DR TAN YEE KEW
Saya merujuk kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyeru semua pihak khususnya pengundi Parlimen Bandar Tun Razak agar ingat jasa BN dan meminta mereka memberikan undi kepada parti pemerintah itu.
1. Saya ingin tanya disini apa jasa BN kepada rakyat? Adakah dengan memungkiri janjinya untuk menurunkan harga kereta seperti dijanjikan manifesto PRU13? Adakah dengan harga rumah semakin naik? Harga tol semakin naik? Bajet pendidikan dipotong? Subsidi petrol dimansuhkan? Rakyat dikenakan GST?
2. Apa yang saya lihat hari ini kezaliman Barisan Nasional (BN) lebih besar daripada jasa mereka kepada rakyat. Banyak tindakan zalim Umno dan BN berbanding daripada jasa-jasa yang dilakukan oleh parti itu sejak Malaysia mendapat kemerdekaan. Rakyat semakin hari semakin tertekan dan tertindas di bawah pentadbiran mereka ini.
3. Saya juga perhatikan pemimpin-pemimpin Umno BN juga tidak sering turun padang dan memberi bantuan kepada penduduk terutama yang memerlukan melainkan pada ketika ini apabila Pilihan Raya Umum (PRU) kian menjelang. Ketika ini baru lah kita nampak wakil-wakil rakyat menunjukkan batang hidung mereka bersama-sama rakyat melakukan pelbagai kerja dan aktiviti.
4. Hakikatnya setelah berbelas kali pilihan raya berlalu dan mandat berterusan kepada BN sebelum ini, yang dijanjikan hanya tinggal janji. Rakyat akan dilupakan selepas mereka mengecapi kemenangan.
5. Sebaliknya, sekiranya pemimpin daripada Pakatan Harapan yang dipilih oleh rakyat untuk berbakti di kawasan yang dimenanginya, sudah tentu tanggungjawab yang dimanahkan oleh rakyat setempat dimanfaat dengan sebaiknya. Ini sama sekali berbeza dengan pemimpin Umno BN yg tidak mengenang jasa.
Oleh itu, saya menyeru semua rakyat untuk bijak memilih wakil rakyat yang betul-betul membantu mereka bukannya yang hadirkan diri di saat PRU menjelang tiba sahaja.
*Datin Paduka Dr Tan Yee Kew adalah Bendahari Agung KEADILAN