Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air pulih 70%

SHAH ALAM, 29 APRIL: Gangguan bekalan air di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam pulih secara berperingkat, sehingga jam 9.30 malam tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam kenyataan berkata, kerja pemulihan di beberapa kawasan lain yang terjejas juga sedang giat dijalankan ekoran paip utama di Sungai Buloh pecah, pada Khamis.

“Bekalan air masih dihantar melalui lori tangki ke kawasan memerlukan dan akan diteruskan sehingga pulih sepenuhnya.

“Sehingga kini, 70 peratus kawasan yang mengalami gangguan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat semasa pemulihan untuk mempercepatkan air kolam takungan mencapai paras optimum.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar “mySyabas” untuk maklumat lanjut.