Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Penuntut UMT maut digilis bas

MARANG, 29 APRIL: Seorang penuntut wanita dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dalam perjalanan pulang ke kampus menunggang motosikal, maut setelah digilis bas di KM15, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rhu Rendang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa Amira Farhana Abdul Rahman, 24, dikatakan gagal mengawal motosikal ditunggangnya, apabila tiba di persimpangan lampu isyarat lalu terjatuh sebelum digilis bas terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supt Abd Razak Hasan mengesahkan kejadian dan melaporkan mangsa meninggal di tempat kejadian ekoran cedera parah di kepala.

Katanya, mayat pelajar jurusan Sarjana Muda Sains Makanan (Teknologi Makanan) itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Nor Aeini Mokhtar dalam kenyataan berkata, UMT amat berdukacita dengan kejadian terbabit dan sudah menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa.

UMT-Malaysia-TerengganuMangsa dilaporkan dalam perjalanan dari Dungun menuju ke kampus setelah pulang menziarahi keluarga jam 5 petang, semalam.

“UMT menghulurkan sumbangan RM1,000 dari Tabung Khairat Kematian bagi urusan pengurusan jenazah dan pengebumian, RM1,000 sumbangan Tabung Kebajikan Pelajar dan RM10,000 insurans kematian ekoran kemalangan.

“Pejabat Menteri Besar Terengganu melalui Yayasan Terengganu turut melahirkan rasa dukacita dengan insiden yang menimpa arwah dan menghulurkan sejumlah wang bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sumber: BERNAMA