Categories
NASIONAL

KKM: Elak guna tiga kosmetik mengandungi racun

SHAH ALAM 11 APRIL: Orang ramai dinasihatkan mengelaklan daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk itu ialah Tati Skincare Night Cream yang mengandungi merkuri, Tati Skincare Treatment Cream (hydroquinone dan tretinoin) dan Moleek Anti Pigment Cream (hydroquinone dan tretinoin).

“Notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Pengguna dan orang ramai boleh menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di http://npra.moh.gov.my/.

=EZY=