Categories
GLOBAL

Korea Utara ancam guna nuklear jika AS agresif

12 APRIL: Media Korea Utara memberi amaran tentang serangan menggunakan senjata nuklear terhadap Amerika Syarikat (AS) jika dikesan sebarang tindakan agresif Amerika ekoran pergerakan tentera laut AS di barat Pasifik yang disifatkan Presiden Donald Trump sebagai ‘armada’.

Ketegangan semakin memuncak di Semenanjung Korea ekoran spekulasi Korea Utara pada April bakal melancarkan ujian nuklear keenamnya yang dikatakan mampu menjangkau sehingga ke tanah besar AS.

Sementara itu, penghantaran kapal pengangkut pesawat AS ke Semenanjung Korea sebagai amaran kepada Korea Utara bahawa AS serius untuk berdepan dengan ancaman negara komunis itu.

Pusat Arahan Pasifik AS mengarahkan unit tempur yang diketuai pesawat pengangkut USS Carl Vinson menuju ke Semenanjung Korea dan bukan seperti perancangan awal iaitu melawat pelabuhan Australia.

“Penghantaran pesawat tempur untuk menunjukkan kekuatan AS di bawah presiden baharu.

“Ini tindakan AS bahawa anda (Korea Utara) tidak boleh menunjuk-nunjuk kuasa nuklear yang akan memusnahkan Amerika, Korea Selatan dan meletakkan Jepun dalam keadaan berisiko,” kata seorang perwakilan Ted Yoho (R-FL) kepada CNN.

Terdahulu, Korea Utara mengeluarkan kenyataan bahawa negara itu sedia membalas sebarang provokasi AS.

“Tentera revolusi kami sangat memantau teliti sebarang tindakan musuh, dan senjata nuklear kami menumpukan kepada pangkalan tentera AS.

“Ia bukan sahaja di pusat operasi Korea Selatan dan Pasifik, malah di tanah besar,” lapor akhbar Rodong Sinmun.

Kumpulan ‘armada’ AS yang dilaporkan menuju Korea termasuklah kapal pembawa pesawat, USS Carl Vinson, dua pesawat pemusnah dan sebuah kapal perang.

Ia biasanya disertai beberapa buah kapal selam, walaupun Pentagon lazimnya tidak menguar-uarkannya.

Dalam pada itu, China menggesa AS untuk memberikan penekanan kepada usaha keamanan bagi mengurangkan ketegangan antara kedua-dua pihak.

Perkara itu dinyatakan Presiden China, Xi Jinping melalui telefon kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Rabu.
=EZY=