Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pertemuan MB – Nadhlatul, singkap muafakat Islam nusantara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 APRIL : Pertemuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama Ketua Umum PB Nadhlatul Ulama, Profesor Dr KH. Said Aqil memberi tumpuan kepada perbincangan pembangunan Islam sejagat berteraskan prinsip Ahli Sunnah Waljamaah.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, perbincangan mengambil kira kemelut isu perbezaan pandangan membabitkan masyarakat Islam nusantara kini.

“Dato’Menteri Besar mengadakan perbincangan bersama memikirkan kepentingan bersama umat Islam nusantara dan Asia Tenggara kerana Malaysia dan Indonesia sebahagian daripada nusantara yang terletak dalam wilayah umat Islam terbesar dunia.

“Tentunya faktor ini mendorong kepentingan Malaysia dan Indonesia secara bersama untuk mewujudkan kestabilan umat dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan sosial dengan mengelakkan sebarang ketegangan dan konflik.

“Masyarakat Islam kini banyak menerima ancaman dari luar dan keutamaan ini memerlukan kita saling bertukar-tukar pandangan untuk menjamin kepada kesejahteraan sejagat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Nadhlatul Ulama adalah pergerakan Islamiyah yang berteraskan kepada prinsip Ahli Sunnah Waljamaah dengan jumlah pengikutnya lebih 50 juta di seluruh dunia.

Shuhaimi berkata, pengaruh gerakan itu kekal relevan berlandaskan perjuangan utamanya untuk mengangkat nilai Islamik berpandukan ajaran hadis dan Al-Quran.

“Pertemuan ini turut membincangkan tentang industri pondok dan keagamaan yang memainkan peranan untuk menjaga fikrah umat Islam agar terus kekal dalam mazhab Ahli Sunnah Waljamaah.

“Kekuatan ini berteraskan pemikiran rasional sederhana dan toleran yang perlu diamalkan agar amalan radikal dari timur tengah yang boleh mengugat kestabilan Islam itu dapat ditepis,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar bersama delegasi KEADILAN mengadakan kunjungan hormat ke atas beberapa pimpinan tertinggi Indonesia bagi mengukuhkan kerjasama serantau Selangor dan negara itu.

Antara pimpinan KEADILAN turut mengiringi Mohamed Azmin, Naib Presiden KEADILAN; Shamsul Iskandar Md Akin dan Tian Chua, Ketua Wanita KEADILAN; Zuraida Kamarudin, Timbalan Angkatan Muda (AMK) KEADILAN; Dr Afif Bahardin, Exco Kerajaan Negeri; Amirudin Shari dan Senator Dr Mohamad Manuty.

=EZY=