Categories
NASIONAL

Kuatkuasa hukuman setimpal pemegang ijazah palsu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 APR: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendesak Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan peruntukan hukuman terhadap mana-mana individu menggunakan ijazah mahupun doktor falsafah (PhD) palsu.

Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN, Datuk Seri Dr Santhara berkata, senarai universiti palsu atau institusi pengajian tidak diiktiraf juga perlu didedahkan kerana wujud kes pemalsuan diperingkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah secara berleluasa.

“Perbuatan pemegang kelayakan palsu itu amat tidak adil kepada pemilik ijazah atau PhD sebenar yang bertungkus lumus memperoleh pengiktirafan ilmu. Kementerian Pendidikan Tinggi juga harus mengambil berat masalah ini supaya ia tidak terus berleluasa.

Datuk Seri Dr Santhara“Ini kerana memang wujud sindiket menjual kelayakan palsu dari universiti luar negara. Beberapa tahun lalu sindiket menjual kelayakan palsu yang turut melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM).

“Rekod menunjukkan polis menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta kepada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri, kononnya daripada lima universiti luar negara,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen yang memiliki doktor falsafah (PhD) membuktikan kelayakan mereka adalah tulen selain terdapat kemungkinan pemegang ijazah atau PhD palsu itu ada dalam kalangan mereka yang berkhidmat atau lantikan dalam kerajaan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming yang menyatakan terdapat Ahli Parlimen menggunakan sijil kelayakan akademik palsu di peringkat Ijazah sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah.

“Mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, kesalahan menggunakan sijil palsu membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan.

“Mereka yang memiliki akademik palsu diperingkat sarjana dan PhD, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong. Namun, mereka sukar dikesan sehinggalah semakan dan perbandingan kelayakan akademik dibuat oleh pakar,” katanya.

Menurutnya, KEADILAN juga mengalu-alukan kementerian berkaitan untuk membuat satu perisian yang membolehkan orang awam menyemak dan mengesahkan status ijazah/PhD seseorang.

-nR-