Categories
NASIONAL

Khalid: Jangan berselindung di sebalik imuniti Parlimen

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 APR: Ketua Pemuda Umno Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin hari ini dicabar mengulangi kenyataan bapanya di luar parlimen.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, tindakan itu perlu dilakukan Faizal jika merasakan ayat dikeluarkan bapanya tidak mencabuli adab dan undang-undang.

“Jangan bertindak sebagai orang pengecut, berselindung di sebalik imuniti Parlimen.

“Beliau berkata seolah-olah saya yang mencetuskan peristiwa sedangkan kita semua tahu ia bermula daripada kata-kata ayahnya.

“Kita nak lihat sama ada kata-kata itu boleh diterima atau tidak di sisi undang-undang itu sendiri,” katanya pada sidang medianya di sini, hari ini.

Pada 4 April lalu, Faizal menerusi sidang media menuduh polis tidak adil kerana tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Khalid yang melemparkan perkataan kesat terhadap bapanya.

Pada 21 November 2016, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman merujuk Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai ‘Kok’, di Dewan Rakyat.

Khalid DiserangKhalid kemudiannya bangkit dan menggelar Tajuddin dengan panggilan ‘sial’ kerana Tajuddin enggan menarik balik perkataan dikeluarkannya.

Pada 23 November 2016, sekumpulan penyokong, termasuk Faizal, merempuh kawalan Parlimen untuk menyerang Khalid, namun berjaya dikawal anggota keselamatan.

Terdahulu, lapan individu terlibat didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.

-nR-