Categories
KENYATAAN MEDIA

Lembaga Pengarah KTMB mesti dedah hasil perbelanjaan

OLEH: Dr. Dzulkefly Ahmad

Saya dimaklumkan bahawa YB Dato’ Abdullah Sani selaku Ahli Parlimen Kuala Langat telah mengeluarkan kenyataan media mengenai masalah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dikatakan bakal memberhentikan sekitar 4,000 pekerja melalui perlaksanaan RNAA.

Persoalan yang diragukan adalah bagaimana KTMB yang diberi peruntukan melalui bajet kerajaan tidak mampu beroperasi dengan sistematik dan lancar sehingga menyebabkan Kerajaan UMNO-BN akhirnya terpaksa mengswastakan KTMB kepada pelabur luar melalui perjanjian RNAA tersebut?

Sehubungan perkara itu, saya menggesa Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mendedahkan hasil perbelanjaan yang diperuntukkan dari Kerajaan UMNO-BN bermula dari tahun 2013 hingga 2017.

Saya difahamkan saban tahun Kerajaan BN akan memperuntukkan secara purata RM 2 billion untuk KTMB melalui program “Meningkatkan Keupayaan KTM” yang disenaraikan dalam Bajet Tahunan Kerajaan Persekutuan.

Pada tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan anggaran RM3.25 bilion, diikuti tahun 2014 (RM 2.17 bilion), 2015 (RM 2.15 bilion), 2016 (RM 1.76 bilion) dan terbaru tahun 2017 sebanyak RM 2.36 bilion.

Dalam tempoh lima tahun fiskal belanjawan, Kerajaan BN memperuntukkan sekurang-kurangnya 11.69 bilion ringgit untuk meneruskan projek ini.

Peruntukan ini tidak termasuk dalam program-program KTMB lain yang diperuntukkan secara asing, seperti “subsidi tren tidak ekonomik” dan “lintasan rata awam”.

Dengan peruntukan yang banyak dalam masa lima tahun, saya juga tidak yakin dengan prestasi yang dipamerkan oleh pihak KTMB. Saya difahamkan orang ramai masih mengkritik keupayaan KTM sebagai sebuah pengangkutan awam yang efisyen.

Masalah-masalah utama masih berlaku seperti kelewatan ketibaan tren dari mengikut jadual, sistem tiket yang tidak berfungsi dengan baik dan tahap kebersihan yang kurang memuaskan menyebabkan saya meragui ke mana peruntukan “meningkatkan keupayaan KTM” dibelanjakan.

Ini tidak termasuk harga tiket yang meningkat pada akhir tahun 2015 dan kerugian yang dihadapi oleh KTMB sebanyak 30 juta ringgit pada tahun 2015.

Tambahan pula, saya dikhabarkan oleh beberapa orang pekerja KTMB bahawa sebahagian peruntukan KTMB yang termaktub dalam Bajet Kerajaan Persekutuan seperti subsidi tidak disalurkan terus kepada syarikat tersebut.
Jika benar apa yang didakwa, ke manakah perginya peruntukan tersebut?
Saya mengkhuatiri peruntukan Kerajaan BN kepada KTMB tidak disalurkan mengikut bajet yang diluluskan di parlimen, atau kemungkinan wujudnya penyelewengan yang melibatkan pelbagai pihak.

Jika itu sememangnya yang terjadi, maka sudah tentu rakyat terutama pengguna KTMB berasa marah terhadap pihak yang menggunakan peruntukan sosial demi kepentingan peribadi.

Perbelanjaan fasiliti yang sepatutnya disalurkan akhirnya lesap, sehingga mengakibatkan pengguna-pengguna KTMB terpaksa membayar wang dan masa menghadapi servis yang kurang memuaskan.

Manakala, pekerja-pekerja KTMB dikambinghitamkan sebagai punca masalah untuk menutup ketirisan yang berlaku.

Sehubungan dengan itu, saya mendesak Lembaga Pengarah KTMB untuk mendedahkan segala perbelanjaan peruntukan yang diperoleh melalui bermula tahun 2013 hingga 2017 (setakat bulan Januari).

Saya tidak menjumpai sebarang laporan penyata kewangan KTMB di laman web rasmi syarikat tersebut melainkan yang dipaparkan hanyalah laporan penyata kewangan bagi tahun 2012.

Saya khuatiri sekiranya laporan-laporan tahunan bagi tahun 2013 hingga 2016 tidak dipaparkan demi menyembunyikan masalah-masalah KTMB berkaitan kewangan.

Saya berharap pihak KTMB dan Kerajaan BN telus dalam menyalurkan peruntukan tahunan.

Justeru, Saya meminta lembaga pengarah KTMB untuk mengemukakan kenyataan mengenai projek-projek yang telah dibangunkan melalui projek tersebut, di samping mendedahkan kesemua Laporan Tahunan bermula tahun 2013 hingga 2016 kepada orang ramai.

 

* Dr. Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Strategi, Parti Amanah Negara (AMANAH)