Categories
NASIONAL

Majikan wajib mohon pekerja asing secara ‘online’

SHAH ALAM, 6 APRIL: Semua majikan di negara ini wajib membuat permohonan mendapatkan pekerja asing secara dalam talian, berkuatkuasa 1 April lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peraturan itu terpakai bagi permohonan pekerja asing dari semua negara sumber kecuali permohonan pembantu rumah asing.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan majikan tidak tertipu oleh ejen yang mengambil kesempatan dan membayar kos berlebihan.

“Keputusan ini adalah demi kebaikan semua supaya KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Imigresen tidak terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan,” katanya lapor BERNAMA.

Ahmad Zahid berkata, permohonan sebelum ini boleh dibuat secara manual atau melalui ejen yang mengutip bayaran perkhidmatan tidak munasabah kepada bakal pekerja.

ZAHIDPada masa sama, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyelar ejen yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan pekerja asing.

“Yang mahu kerja di sini orang susah, bayar puluhan ribu ringgit, jual rumah, hartanah, ambil pinjaman dengan along di negara mereka.

“Bila (mereka) berlambak di sini, tiada majikan ambil mereka bekerja dan akhirnya harta dilelong, anak isteri yang tinggal susah dikejar along,” katanya.

-AA-