Categories
SELANGOR

MPKj larang penjaja pakai crocs ketika berniaga

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 6 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melarang penjaja khususnya pengendali makanan di kawasan seliaannya memakai selipar berbentuk ‘crocs’ ketika menjalankan perniagaan.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (MPKj), Mohd Yazid Abdul Razak berkata, pihaknya melarang keras penjaja memakai selipar dan sandal bagi menjaga kebersihan makanan.

“Ada segelintir penajaja tidak mahu memakai kasut, namun mengenakan selipar crocs. Perlu diingatkan selipar crocs boleh menyebabkan air bertakung mengakibatkan air terpercik ke dalam makananan.

“Oleh itu, kita melarang sama sekali selipar itu digunakan pengendali makanan,” katanya ketika menyampaikan taklimat dalam seminar ‘Green Your Day’ dan Kempen Kesedaran Alam Sekitar kepada 100 peserta terdiri daripada penjaja pasar ramadan, pasar malam, pasar siang dan pasar tani.

Pada masa sama, Yazid berkata, peraturan itu perlu dipatuhi pengendali makanan kerana mereka adalah antara penyumbang utama kepada pencemaran makanan.

penjajaBeliau berkata, pihaknya mewajibkan pengendali makanan termasuk mana-mana individu terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan menghadiri Kursus Pengendalian Makanan (KPM) yang diiktiraf MPKj sebelum menjalankan perniagaan.

“Mana-mana pengendali makanan didapati gagal mematuhi peraturan ini dianggap melakukan kesalahan dan boleh disabit.

“Antara peraturan yang perlu dipatuhi adalah keadaan diri yang kemas dan bersih iaitu sentiasa memakai penutup kepala, kuku hendaklah pendek dan bersih, tidak merokok serta memakai kasut,” katanya.

-AA-