OLEH AZAN ISMAIL
SHAH ALAM, 24 APRIL: Saya mengambil maklum agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang semakin terdesak meraih undi apabila menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Kuala Besut, Terengganu sedangkan perkara seumpamanya ditabur setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Berdasarkan laporan portal Utusan Malaysia bertarikh 16 April lalu, ‘Najib lancar pelaksanaan Gerbang Pelancongan Antarabangsa Terengganu’, projek yang menelan belanja RM250 juta itu dikatakan bakal memberi manfaat kepada industri pelancongan dan nelayan tempatan.
1. Projek ini sebenarnya dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai 2013 dan diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
2. Calon BN dan kini ADUN Tengku Zaihan Che Ku Rahman, iaitu seorang bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Besut dikatakan terlibat bersama jabatan dan agensi pelaksana membuat kajian serta cadangan mendalamkan kuala sungai termasuk membina benteng pemecah ombak.
3. Persoalannya, setelah hampir 4 tahun projek itu mendapat kelulusan, mengapakah baharu sekarang kerajaan beria-ria untuk melaksanakannya? Mengapakah tidak dibuat sebaik sahaja mereka memenangi kerusi Kuala Besut? Apakah janji kempen PRK dulu hanya ‘gula-gula’ untuk para pengundi?
4. Sepatutnya Kuala Besut dari dulu lagi dibangunkan kerana sebagai hub pelancongan di Terengganu kerana merupakan pintu masuk ke Pulau Perhentian, yang mendapat pengiktirafan dalam senarai rangkaian CNN sebagai pulau ke-13 terbaik dunia. Prasarana pelancongan bertaraf dunia juga sewajarnya sudah lama dibangunkan jika kerajaan benar-benar serius melakukannya.
5. Selain itu, kerajaan melalui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 15 April 2017 turut menabur janji kepada rakyat yang bakal dipilih bagi menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Nanas dan yang sudah menduduki di Padang Hiliran akan disediakan skim sewa beli kepada penghuni yang menyewa di kawasan-kawasan perumahan itu jika BN menang Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
6. Suka diingatkan, penduduk Terengganu dari dahulu lagi menghadapi masalah perumahan akibat sikap cuai dan tidak bertanggungjawab kerajaan. Kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah perumahan di Terengganu bukan perkara baru, malah diakui sendiri oleh Exco Kemajuan Luar Bandar, Usahawan Koperasi & Penggunaan Negeri, Nawi Mohamad (30 Ogos 2016). Bolehkah kerajaan memberi penjelasan apa sudah jadi kepada projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Sri Gemilang, Kerteh? Bagaimana pula dengan nasib pembeli rumah di Padang Setengge, Kuala Berang?
7. Perbuatan ‘merasuah’ rakyat menjelang PRU seperti dilakukan Razif dan Najib ini amat menjijikkan, apatah lagi rasuah itu dibuat menggunakan duit rakyat pula. Saya juga kesal dengan perilaku mereka yang hanya akan memberikan kemudahan kepada pengundi Umno BN semata, walhal dalam amalan demokrasi semua rakyat berhak mendapat kemudahan secara sama rata tanpa mengira ideologi dan siapapun yang mereka pilih.
8. Sehubungan itu, saya mendesak kerajaan Umno BN untuk mengemukakan bukti bahawa kesemua janji mereka pada PRU13 lalu dalam manifesto termasuk tambahan 18 perkara baharu, sudah tertunai. Apakah ia sudah dilaksanakan atau sekadar janji ‘manis di bibir’ saja? Janji dulu pun tidak berjaya dinikmati rakyat, sekarang tabur lagi seribu janji.
*Azan Ismail adalah ADUN Bandar dan Pengerusi KEADILAN Terengganu