Categories
SELANGOR

MDKS sita dua lori sampah haram

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 6 APRIL: Dua lori didapati membuang sampah secara haram berhampiran Kampung Seri Sentosa, Bestari Jaya disita dalam operasi mengejut, baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan diambil menerusi risikan awal pihaknya dan aduan penduduk sekitar.

Katanya, sitaan dilakukan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007.

“MDKS sudah memanjangkan perkara ini kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor untuk menyemak semula status tanah supaya tindakan tegas diambil terhadap tuan tanah.

“Pada masa sama, MDKS akan melakukan pemantauan susulan secara berkala dan berterusan dari semasa ke semasa di tapak berkenaan,” katanya.

Selain Kampung Seri Sentosa, lokasi hotspot lain termasuk Tanjung Karang di Jalan Alternatif Bagan Pasir dan Pantai Sungai Kajang, Ijok (Jalan Pusara Ijok dan Jalan Abdul Aziz Batu 8 Ijok), Sungai Buloh (Jalan Sasaran dan Bagan Sungai Buloh), Jeram (Jalan Sungai Janggut dan Bukit Hijau), Pasir Penambang (Jalan Bagan Pasir Penambang dan Pengkalan Permatang) serta Tanjung Keramat (berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Aik Thee).

DSC_6892Mohd Azhar berkata, MDKS serius menangani isu sampah haram dan mengharapkan kerjasama agensi kerajaan juga orang awam dalam memastikan Kuala Selangor sifar sampah haram.

Katanya, penduduk boleh mengambil gambar dan memastikan nombor pendaftaran kenderaan jelas, seterusnya hantar menerusi aplikasi sistem aduan SPARKs bagi memudahkan MDKS mengambil tindakan.

“Usaha menangani masalah pembuangan sampah haram tidak terletak di bawah MDKS semata-mata dan kebanyakan isu timbul di kawasan bukan seliaan MDKS.

“Kos menyelesaikan isu sampah ini sebenarnya tidak pernah mencukupi jika bergantung kepada hasil kutipan cukai dibayar penduduk.

“Jsuteru, MDKS amat menghargai peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM1.8 juta bagi menambahbaik pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ke arah Kuala Selangor sihat dan bersih,” katanya.

-AA-