SHAH ALAM, 6 APR: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok memfailkan saman fitnah RM1 juta ke atas pemimpin Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Saman itu dikemukakan ekoran dakwaan Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar kononnya Teresa melakukan salah guna kuasa ke atas dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di bawah pentadbiran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
“Hari ini, saya memfailkan saman terhadap Jamal Yunos atas tuduhan palsu yang mendakwa saya menerima kad ATM SMUE Kerajaan Selangor untuk mengeluarkan sejumlah besar wang daripada akaun bank Kerajaan Negeri.
“Seperti yang kamu tahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia datang ke pejabat saya dan mengambil segala fail SMUE. Oleh itu, kita memberikan mereka banyak kotak dokumen.
“Apa yang Jamal Yunos lakukan itu merosakkan reputasi saya dan kerja saya sebagai wakil rakyat,” katanya lapor MalaysiaKini.
SMUE adalah skim bantuan kecemasan iaitu ahli keluarga yang lahir di Selangor boleh memohon untuk mendapatkan wang perbelanjaan pengebumian RM2,500.
-NFN-