Categories
SELANGOR

Nelayan tak pernah dipinggir

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri tidak mempunyai cadangan untuk memberikan bantuan secara ‘one-off’ kepada nelayan, buat masa ini, kata Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, golongan itu bagaimanapun tidak pernah dipinggirkan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.

Katanya, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan dalam bentuk bantuan enjin, sampan dan peralatan menangkap ikan membabitkan 144 penerima, pada 2015.

zaidy-dun“Bermula 2016, dasar pemberian ditambah baik iaitu bentuk bantuan adalah berbentuk peralatan menangkap ikan sahaja dan kita tidak lagi memberikan bantuan sampan serta enjin.

“Ini disebabkan dengan peruntukan yang ada, lebih ramai lagi golongan nelayan dapat merasai bantuan disediakan,” katanya ketika sesi penggulungan Menjunjung Titah Sultan Selangor, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin membangkitkan isu pemberian bantuan secara ‘one-off’ kepada nelayan.

Zaidy berkata, sejumlah RM824,390 diperuntuk kepada 732 nelayan dalam bentuk bantuan peralatan menangkap ikan seperti GLobal Positioning System (GPS) dan jaring menangkap ikan, pada 2016.

“Ia tidak termasuk RM607,780 membabitkan 168 penerima dalam kalangan usahawan akuakultur yang menjadikan jumlah keseluruhan RM1.4 juta dengan 900 penerima,” katanya.

-NFN-