Categories
SELANGOR

Caj 20 sen: Cadang wujud tabung khas perkasa IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 APR: Kerajaan Negeri dicadangkan mewujudkan satu tabung berkaitan kutipan caj 20 sen untuk disalurkan ke dalam akaun sah bagi melancarkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, menerusi tabung terbabit semua pihak dapat mengetahui berapa jumlah kutipan diterima dan mengelakkan Barisan Nasional (BN) menuduh Kerajaan Negeri mengambil kutipan caj itu.

“Umno menuduh Kerajaan Negeri mengambil duit kutipan. Oleh itu, saya mencadangkan satu tabung diwujudkan supaya Kerajaan Negeri boleh menggunakannya kepada program IPR,” katanya dalam pembentangan usul di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Ng Suee Lim (2)Suee Lim turut menasihatkan BN supaya tidak menjadikan isu 20 sen untuk menjadi ‘Juara’.

“Niat Kerajaan Negeri baik untuk mendidik masyarakat menyayangi alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat dan perjumpaan secara berkala bersama peniaga bagi memantau laporan penyaluran berkaitan kutipan caj 20 sen dalam kempen Bebas Plastik.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong berkata, pemantauan laporan penyaluran kutipan berkenaan termasuk laporan aktiviti yang dilaksanakan oleh pihak ketiga.

Katanya, Kerajaan Negeri menggalakkan peniaga untuk menyalurkan kutipan caj 20 sen berkenaan bagi melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar seperti pembersihan sungai atau pantai.

bebas-plastikBayaran 20 sen dikenakan terhadap penggunaan beg plastik bermula 1 Januari 2017 selaras dengan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ di negeri ini.

Peniaga di negeri ini tidak akan lagi membekalkan bekas makanan polistirena termasuk pemberian beg plastik secara percuma kepada pelanggan.

Berdasarkan kaji selidik yang dibuat kerajaan negeri mendapati 71 peratus rakyat negeri ini merasakan kempen Bebas Beg Plastik pada Sabtu sahaja tidak memadai.

Kerajaan negeri turut melancarkan laman sesawang pendidikan www.bebasplastik.my, melaluinya orang ramai boleh berikrar menyokong bebas plastik dan menggalakkan peniaga, pe]runcit dan pembekal untuk mendaftar.

-nR-