Categories
GLOBAL

Penggodam dipenjara 27 tahun rugikan niaga RM743 juta

WASHINGTON 22 APRIL: Anak lelaki ahli perundangan Russia dijatuhi hukuman penjara 27 tahun oleh mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) selepas disabitkan bersalah melakukan serangan siber ke atas ribuan perniagaan di negara itu.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan keputusan berkenaan menjadikan ia adalah hukuman berkaitan kesalahan menggodam komputer paling lama di AS.

Roman Seleznev, 32, didapati bersalah oleh juri di Seattle tahun lalu, kerana mewujudkan skim yang didakwa membabitkan pencerobohan ke dalam pusat komputer untuk mencuri nombor kad kredit dan menyebabkan firma AS kerugian AS$169 juta (RM743 juta).

Kerajaan Russia menegaskan penangkapan Seleznev pada 2014 di Maldives adalah tidak sah.

Ia mengeluarkan kenyataan mengkritik hukuman itu dan menyatakan peguam Seleznev merancang mengemukakan rayuan.

“Kami percaya penangkapan Roman Seleznev yang sebenarnya diculik di wilayah negara ketiga adalah melanggar undang-undang,” kata Kedutaan Russia di Washington dalam laman Facebook.

Seleznev ialah anak lelaki Ahli Parlimen Russia, Valery Seleznev. Sabitan itu menyusul siasatan selama sedekad oleh Perkhidmatan Rahsia AS, kata Jabatan Kehakiman dalam kenyataan akhbar.

Sejak Oktober 2009 hingga Oktober 2013, Seleznev dikatakan mencuri nombor kad kredit daripada lebih 500 perniagaan, memindahkan data kepada server di Virginia, Russia dan Ukraine dan menjual maklumat kepada laman web jenayah.

=EZY=