Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Serantau Muslim pantau pembinaan wakaf telaga

RAKHINE, MYANMAR 22 APRIL: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) turun Rakhine, Myanmar bagi melihat sendiri proses pembinaan wakaf telaga yang disumbang oleh dermawan khususnya rakyat Malaysia.

Pembinaan telaga tersebut bertujuan membantu umat Islam Rohingya dizalimi dan dinafikan hak untuk mendapat air yang bersih serta selamat digunakan.

Umat Islam Rohingya kini tidak diiktiraf oleh negaranya sendiri mengambil pendirian untuk tidak mahu menerima bekalan air daripada kerajaannya kerana dicemari hingga menyebabkan kesan negatif kepada kesihatan sekiranya ia digunakan.

Difahamkan setiap telaga boleh menampung kegunaan untuk 20 buah rumah bagi meneruskan kehidupan seharian mereka.

Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, sebanyak 174 buah telaga menerusi fasa pertama, kedua dan ketiga telah berjaya dibina dengan jayanya biarpun menghadapi tekanan dan kekangan yang sangat mencabar.

Raja Iskandar dan Mohd Hakim menyantuni anak-anak Rohingya disebuah perkampunganKata beliau, pihaknya menghadapi cabaran sukar dalam memastikan pembinaan telaga tersebut berjaya.

“Sebelum ini kami hanya dapat melihat proses pembinaan menerusi foto yang dihantar oleh rakan kerjasama kami di sini.

“Hari ini kami turun melihat sendiri telaga-telaga yang berjaya dihasilkan hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat proses pembinaan wakaf telaga fasa keempat serta pelancaran perletakan batu asas untuk fasa kelima yang diusahakan oleh Serantau Muslim.

Raja Iskandar menjelaskan, biarpun terpaksa menghadapi cabaran dan ancaman untuk sama ke wilayah bergolak ini, Serantau Muslim tetap mengambil risiko tersebut untuk melihat sendiri telaga yang dibina.

Ini bagi memastikan wakaf disumbangkan itu benar-benar dibuktikan penghasilannya seterusnya memberi keyakinan kepada semua pihak untuk terus menyumbang dan menyalurkan bantuan kepada umat Islam Rohingya melalui wakaf tersebut.

“Kini pembinaan untuk fasa keempat sedang rancak berjalan, kami berjaya melihat sendiri dan terlibat sama dalam proses pembinaannya.

“Terbukti pembinannya berjalan mengikut perancangan biarpun ia terpaksa menghadapi ancaman dan kekangan setempat,” jelasnya lagi.

Telaga air yang berfungsi dengan sepenuhnya hasil sumbangan rakyat MalaysiaSementara itu, Setiausaha Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor menceritakan, proses pembinaan wakaf telaga untuk fasa keempat sebelum terhenti seketika kerana ketegangan antara etnik Rohingya dan pemerintah.

Katanya, ribuan telah terkorban dalam ketegangan tersebut yang mana umat Islam dibunuh dengan pelbagai cara termasuklah melalui penyaluan air yang tercemar.

“Walau pergolakan ketika ini masih berlaku dan keadaannya masih berisiko, kami tetap bertekad untuk sama ke sini bagi memastikan telaga yang diwakafkan itu berjaya diteruskan.

“Dengan terpaksa menempuh pelbagai sekatan untuk sampai ke wilayah bergolak ini, kami sangat terharu apabila berjaya melihat hasil pembinaan telaga ini,” jelasnya ketika menceritakan kesukaran rombongan Serantau Muslim untuk sampai ke negeri Rakhine itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hakim menjelaskan, peluang wakaf telaga sedang dibuka bagi merealisasikan fasa keempat ketika ini.

“Umat Islam di sini sangat mengharapkan agar lebih banyak lagi pembinaan telaga bagi menampung keperluan mereka.

“Kami membuka peluang wakaf ini kepada semua khususnya rakyat Malaysia. Kepada yang berminat boleh layari www.untukmurohingya.com atau hubungi kami di talian +6010 8659407,” jelasnya.

=EZY=