Categories
SUKANKINI

Nasib Andik ditentukan dua minggu lagi

SHAH ALAM, 29 APRIL: Lanjutan kontrak pemain import Selangor, Andik Vermansyah akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi, kata P Maniam.

Pengendali The Red Giants itu berkata, walaupun Andik masih terikat selama setahun dengan pasukan itu, namun keputusan menyambung kontraknya akan diputuskan pihak pengurusan.

“Andik perlu terus bermain bersama Selangor untuk tempoh setahun lagi tetapi ia bergantung kepada keputusan yang akan dimaklumkan kelak.

“Setakat ini saya lihat beliau pulih dengan baik walaupun belum mencapai tahap stamina sepatutnya. Saya yakin dia akan berjaya meningkatkan stamina,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, pemain kelahiran Indonesia itu mengalami kecederaan serius ketika mewakili negaranya dalam Piala AFF 2016 dan tidak dapat bersama The Red Giants dalam saingan Liga Malaysia sejak ia membuka tirainya, pada Februari lalu.