Categories
SELANGOR

Persekutuan beri cadangan ‘gagal’, Selangor sedia skim bantu rakyat beli rumah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 APR: Ketika Putrajaya tampil dengan saranan ‘milikan cara baru memiliki kediaman’ yang mengundang kritikan rakyat, Kerajaan Negeri tampil dengan inisiatif berkebajikan dalam membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, warga Selangor khususnya mereka yang berpendapatan sederhana diberi pilihan untuk menyertai Skim Smart Sewa yang dilaksanakan di peringkat negeri ini.

“Kerajaan Negeri mahu rakyat Selangor berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri supaya masa depan mereka lebih terjamin kelak.

“Maka, Skim Smart Sewa diperkenalkan dan diperluaskan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta pada Belanjawan 2017.

“Rakyat Selangor yang berkelayakan boleh menyewa kediaman sehingga lima tahun dan apabila tidak lagi tinggal di unit sewaan, 30 peratus wang sewaan mereka dipulangkan dan boleh dijadikan pendahuluan untuk membeli Rumah Selangorku,” katanya di Facebook.

Mohamed Azmin berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai dasar berkebajikan bagi membantu rakyat Selangor selaras iltizam untuk membangunkan bangsa dan memakmurkan negeri.

Justeru Mohamed Azmin optimis, skim diperkenalkan di peringkat negeri itu berupaya menyelesaikan tuntutan rakyat Selangor untuk memiliki kediaman peribadi.

SKIM SMART“Kerajaan Negeri sedar dan prihatin dengan kepayahan rakyat Selangor berpendapatan sederhana dalam mendapatkan pinjaman membeli rumah dan saya yakin skim ini berupaya menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan supaya lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk disewakan dan bukannya untuk dibeli.

Memetik laporan media, Johari berkata, memiliki rumah kediaman pada usia muda hanya mengundang hutang jangka panjang dan membebankan golongan itu.

Bagaimanapun, kenyataan Menteri Umno itu mengundang kritikan netizen yang menyifatkan idea itu kurang bijak sekali gus mencerminkan kegagalan Kerajaan Persekutuan membantu rakyat memiliki kediaman peribadi.

=EZY=