Categories
SELANGOR SUKANKINI

Piala Sultan Selangor 2017 perkenal kategori bawah 16 tahun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 APR: Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, Piala Sultan Selangor 2017 yang diadakan di Stadium Nasional Singapura bakal menampilkan kategori bawah 16 tahun.

Pengerusi/Pengurus Pasukan TSSC 2017, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kategori itu membabitkan pemain pasukan sekolah bawah 16 tahun di Selangor dan Singapura.

“Terima kasih ditujukan kepada pemain PKNS FC yang mewakili Selangor dan pemain Singapura, pemain veteran Selangor dan Singapura, juga pemain di bawah 16 tahun pasukan Selangor dan Singapura, wakil penyokong bola sepak Selangor dan Singapura, Persatuan Bola Sepak Singapura serta individu terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan Piala Sultan Selangor 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2017 di Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Sebelum itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis yang turut dihadiri pemain PKNS FC.

Baginda turut berkenan menerima sumbangan daripada penaja kejuaraan yang mengimbas nostalgia pertembungan dua musuh tradisi Piala Malaysia, Selangor dan Singapura.

Selangor pada edisi ke-16 kali ini diwakili PKNS FC sama seperti 2004 apabila Selangor ketika itu diwakili MPPJ FC.

=EZY=