Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PKM Morib edar 300 beg kitar semula, jaya kempen #bebasplastik

OLEH HAFIZAN TAIB

MORIB, 10 APR: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib mengedarkan 300 beg kitar semula #bebasplastik di pasar pagi Teluk Bunut, di sini, semalam, bagi membantu dan menggalakkan orang ramai menggunakan bahan berkenaan.

Hasnul BaharuddinAktiviti dilakukan dengan kerjasama Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Lim Tou Yih, sebagai menyokong langkah Kerajaan Negeri melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik, mulai tahun ini.

Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin berkata, pihaknya melakukan edaran beg kitar semula di kawasan awam bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kempen berkaitan.

“Kita jalankannya bagi menggalakkan orang ramai menggunakan bahan alternatif demi menjayakan kempen larangan penggunaan beg plastik.

“Aktiviti sebegini dilakukan secara berterusan dan sambutan membanggakan diberikan orang ramai yang menyambut baik langkah Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib menjalankan beberapa aktiviti sama dan mengedarkan lebih 500 beg kitar semula di kawasan DUN berkenaan.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen larangan penggunaan beg plastik dan polisterina selaras dengan dasarnya untuk bebas dua bahan itu.

-NFN-