Categories
NASIONAL

Polis tolak penganjuran Himpunan 1 Mei

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Polis menolak permohonan penganjur Himpunan 1 Mei di ibu negara, esok sempena sambutan Hari Pekerja.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, penolakan itu ekoran penganjur gagal mengemukakan surat kebenaran pemilik lokasi perhimpunan itu.

“Mereka tidak mendapat kebenaran daripada premis di kawasan Lot 10 yang separuhnya adalah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan pemohon sepatutnya berbuat demikian.

“Atas alasan itu, polis tidak mengeluarkan kelulusan,“ katanya lapor Astro Awani.

Beliau turut mengesahkan sudah menerima surat pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan yang dirancang itu, pada Selasa lalu.

Katanya, perbincangan dengan wakil mereka juga sudah diadakan.

Peserta perhimpunan dikatakan merancang untuk berkumpul di hadapan bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Kuala Lumpur sebelum berarak ke dataran pusat membeli belah Lot 10 di Bukit Bintang.