Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Putrajaya ciplak dasar Smart Sewa Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif pelaksanaan Skim Sewa dan Menyimpan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan signifikan dengan Skim Sewa Milik yang dilaksanakan di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad merujuk pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan skim serupa ketika majlis pecah tanah projek perumahan Sungai Udang Setapak, Kuala Lumpur semalam.

“Kerajaan Negeri mengumumkan skim sama pada Oktober tahun lepas. Di bawah skim tersebut yang dinamakan Smart Sewa, penyewa dipulangkan 30 peratus daripada sewa dibayar selepas kontrak sewaan mereka tamat.

“Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Sidang Dewan Negeri Oktober lepas mengumumkan RM100 juta dibelanjakan dalam 2017 untuk membeli Rumah Selangorku yang disewakan.

“Ketika itu terdapat 100 rumah yang boleh disewakan di bawah skim ini. Tetapi pada Januari tahun ini 260 unit Rumah Selangorku dikenalpasti untuk dibeli dengan kos RM46.5 juta,” katanya dalam kenyataan.

Najib semalam melancarkan pembinaan perumahan pangsapuri baru dengan konsep pulangan kewangan semula sebanyak RM18,000 untuk tempoh lima tahun.

Konsep tersebut digunakan dalam Projek Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang di Segambut dengan kadar sewa sebanyak RM800 sebulan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500 adalah kadar sewa sementara bakinya RM300 akan dijadikan simpanan kepada penyewa.

Mengulas inisiatif itu, Iskandar berkata konsep sama dilaksanakan di peringkat Persekutuan membuktikan dasar Smart Sewa Selangor memberikan manfaat kepada umum.

“Walaupun Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sering mempertikaikan peranan Kerajaan Negeri tetapi pelancaran skim Kerajaan Persekutuan yang mirip skim Kerajaan Negeri ini merupakan pengiktirafan kepada usaha Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=