Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Haniza: Bayar sewa, dapat pulangan tunai 30 peratus

SHAH ALAM, 26 MAC: Peserta Skim Smart Sewa yang tetap membuat bayaran bulanan meskipun boleh ditangguh, layak menikmati pulangan tunai 30 peratus.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata manfaat tersebut akan diperolehi bagi tempoh tiga bulan bermula April.

“Kelonggaran diberikan kepada semua penyewa untuk menangguhkan bayaran bermula April sehingga Jun 2020, namun jika penyewa mahu menjelaskannya seperti biasa iaitu sebelum atau pada 7 hari bulan, ia dibolehkan.

“Penyewa akan mendapat 30 peratus pemulangan balik daripada sewa bersih,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penangguhan bayaran sewa tiga bulan bagi 2,700 peserta Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM600,000.

Ia antara tujuh inisiatif yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Covid-19 kepada golongan yang terkesan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kebun Smart Selangor galak pertanian konsep moden

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JULAI: Projek Kebun Smart Selangor adalah satu langkah terbaru bagi menggalakkan industri pertanian di negeri ini terutama bagi golongan penduduk bandar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek itu akan dibangunkan di setiap daerah untuk djadikan contoh kepada orang awam supaya menceburi bidang pertanian berasaskan komersil menggunakan teknologi moden.

“Kebun Smart Selangor ini lebih kepada komersial dengan menggalakkan tanaman menggunakan teknologi moden melalui konsep fertigasi.

ZAIDY TALIB (2)“Dalam konsep ini, satu ekar kawasan boleh tanam 1,000 polibeg yang boleh mengeluarkan hasil untuk pendapatan. Setakat ini, kita sudah mengenalpasti satu lokasi untuk setiap daerah di Selangor,” katanya.

Katanya, model itu diusahakan di tanah berkeluasan satu ekar dengan bajet dibawah 50,000 serta boleh dikembangkan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersedia memberikan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada pengusaha yang berminat untuk mengusahakan tanaman kontan di atas tanah milik kerajaan supaya mereka memperoleh hasil.

“Langkah ini diharapkan menjadi cabang baru kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil pendapatan memandangkan kawasan komuniti dan bandar memiliki ruang pertanian terhad,” katanya.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan menggalakkan orang ramai mengusahakan ladang komuniti bersifat perkongsian plot kecil yang kebanyakannya diusahakan di kawasan perumahan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Putrajaya ciplak dasar Smart Sewa Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri mengalu-alukan inisiatif pelaksanaan Skim Sewa dan Menyimpan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan signifikan dengan Skim Sewa Milik yang dilaksanakan di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad merujuk pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan skim serupa ketika majlis pecah tanah projek perumahan Sungai Udang Setapak, Kuala Lumpur semalam.

“Kerajaan Negeri mengumumkan skim sama pada Oktober tahun lepas. Di bawah skim tersebut yang dinamakan Smart Sewa, penyewa dipulangkan 30 peratus daripada sewa dibayar selepas kontrak sewaan mereka tamat.

“Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada Sidang Dewan Negeri Oktober lepas mengumumkan RM100 juta dibelanjakan dalam 2017 untuk membeli Rumah Selangorku yang disewakan.

“Ketika itu terdapat 100 rumah yang boleh disewakan di bawah skim ini. Tetapi pada Januari tahun ini 260 unit Rumah Selangorku dikenalpasti untuk dibeli dengan kos RM46.5 juta,” katanya dalam kenyataan.

Najib semalam melancarkan pembinaan perumahan pangsapuri baru dengan konsep pulangan kewangan semula sebanyak RM18,000 untuk tempoh lima tahun.

Konsep tersebut digunakan dalam Projek Pangsapuri Bandaraya Sungai Udang di Segambut dengan kadar sewa sebanyak RM800 sebulan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM500 adalah kadar sewa sementara bakinya RM300 akan dijadikan simpanan kepada penyewa.

Mengulas inisiatif itu, Iskandar berkata konsep sama dilaksanakan di peringkat Persekutuan membuktikan dasar Smart Sewa Selangor memberikan manfaat kepada umum.

“Walaupun Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sering mempertikaikan peranan Kerajaan Negeri tetapi pelancaran skim Kerajaan Persekutuan yang mirip skim Kerajaan Negeri ini merupakan pengiktirafan kepada usaha Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Skim Smart-Sewa dilaksana bantu rakyat miliki rumah

OLEH HAFIZAN TAIB

PUCHONG, 17 JAN: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan Skim Smart-Sewa bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah dalam tempoh terdekat ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, seperti mana diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, skim dengan peruntukan RM100 adalah salah satu program utama dijalankan Kerajaan Negeri bagi memenuhi keperluan kumpulan sasaran.

“Peruntukan RM100 juta daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk kita beli rumah dan disewakan.

“Ia program besar dan mungkin membabitkan 800 hingga 1,000 unit rumah di mana ia akan disewakan kepada mereka tidak mampu membeli rumah iaitu tidak mendapat pinjaman bank,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Skim Smart-Sewa adalah bagi memberi kemudahan kepada rakyat memerlukan dengan tempoh sewa selama dua tahun atau ditetapkan.

Selepas tempoh itu, katanya, Kerajaan Negeri memulangkan kembali 30 peratus daripada jumlah sewa dibayar bertujuan membantu mereka membayar wang pendahuluan bagi membeli rumah.

Iskandar menjelaskan bagi menjayakan program itu, setakat ini Kerajaan Negeri membeli sejumlah unit rumah di beberapa kawasan termasuk di Bukit Tinggi.

“Kita mendapat maklum balas pemaju termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bahawa peratus kegagalan mendapat pinjaman membeli rumah kira-kira 50 peratus dan salah satu puncanya kerana masalah Pebadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Itu sebabnya kita minta PTPTN longgarkan syarat supaya tidak dimasukkan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

“Ketika melancarkan program perumahan, kita juga menjemput PTPTN supaya bakal pembeli boleh merujuk kepada mereka secara terus,” katanya menyentuh isu golongan mereka yang gagal mendapat pinjaman bank.

=EZY=