Categories
SELANGOR

RM19 juta, tingkat fasiliti sekolah seluruh Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 18 APR: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan RM19 juta bagi pembaikan sekolah seluruh negeri bagi tempoh 2017.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi , Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia membabitkan keperluan infrastruktur ke arah pemerkasaan pendidikan dan manfaat pelajar.

“Bantuan ini diagihkan berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah berdasarkan keperluan ditetapkan.

“2008 lalu, kita peruntukan bantuan RM16 juta untuk Sekolah Jenis Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Tetapi 2017, Kerajaan Negeri menaikkan jumlah bantuan RM19 juta termasuk penambahan kategori bantuan untuk Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan,” katanya.

BANTUAN SEKOLAH 2Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pada Program Ramah Mesra bersama penerima bantuan sekolah negeri Selangor fasa pertama di Auditorium Inpens, pagi ini.

Dalam perkembangan itu, Fasa pertama penyerahan bantuan membabitkan 121 sekolah di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Zon Utara antaranya Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Sekinchan, Sungai Panjang, Ijok dan Sungai Burung sebanyak RM3,093,000.00.

Penyampaian sumbangan melibatkan tiga fasa penyerahan mengikut zon dan DUN sekolah seluruh negeri.

Untuk rekod, bidang pendidikan termaktub di bawah kuasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Bagaimanapun Nik Nazmi berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri memperkasakan bidang pendidikan dilaksanakan melangkaui fungsi sebenar bidang kuasa negeri.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyumbang ke arah memperbaiki mutu pendidikan di Selangor melalui ruang yang ada kerana bidang pendidikan ini di bawah senarai Persekutuan.

BANTUAN SEKOLAH“Kita sebenarnya tiada kuasa menyentuh aspek kurikulum atau membina sekolah tetapi kita cuba menyokong pelbagai inisiatif demi keperluang rakyat,” katanya.

Antara pendekatan itu katanya, termasuklah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bermula dengan Skim Tawas, Tunas, Tuisyen Rakyat, Yayasan Selangor, Biasiswa Selangorku, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Peduli Siswa.

-nR-