Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Seminggu tunai janji bantu pesawah

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Kerajaan Negeri hanya mengambil masa tujuh hari untuk menunaikan janji membantu 8,950 pesawah yang terjejas ekoran serangan penyakit hawar daun (BLB).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan pantas itu diberikan selepas mengambil kira ‘keparahan’ ditanggung pesawah kerana pendapatan terjejas sehingga 60 peratus.

Katanya, ia juga bukti Kerajaan Negeri tidak pernah berjanji kosong sebaliknya komited membantu rakyat memerlukan.

PESAWAH SABAK BERNAM (6)“Kita tidak mahu menjadi seperti sebelah sana, kata sahaja mahu memberi bantuan dengan peruntukan mencecah angka juta, empat bulan lepas janji.

“Malangnya sehingga kini, ‘angin’ pun tiada yang sampai kepada pesawah,” katanya di hadapan lebih 500 yang hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pesawah di Parit 10, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, setiap lot menerima bantuan dalam bentuk pakej benih padi CL2 (padi kebal) dan racun bernilai RM960.

“Diharap dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas. Dengan ini, pesawah juga diharap dapat memulakan penanaman semula seterusnya meningkatkan kembali hasil pendapatan mereka,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan di Dewan Negeri Selangor mengumumkan RM8.5 juta diluluskan bagi membantu pesawah yang terjejas di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Pada 5 Disember 2016, serangan BLB dilapor menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

-NFN-