Categories
SELANGOR

‘Kasihku’ agih semula zakat kepada asnaf

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan program ‘Kasihku’ sebagai inisiatif meraikan syarikat korporat yang mengeluarkan zakat RM50,000 menyantuni asnaf fakir dan miskin.

Institusi itu dalam kenyataan berkata, enam syarikat korporat menyatakan persetujuan menyertai program terbabit bagi mengagih semula 3/8 zakat dikeluarkan.

“Mereka ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyumbangkan semula wang zakat RM300,000, SIRIM Berhad (RM200,000), Worldwide Holdings Berhad (RM120,000), Tekun Nasional (RM33,271.31) dan MTU Services (Malaysia) (RM20,000).

“Manakala Tenaga Nasional Berhad menyumbangkan RM50,000 bagi tujuan pembinaan rumah di bawah pakej bantuan sosial,” katanya dalam kenyataan.

Melalui program ‘Kasihku’, syarikat boleh memohon semula 3/8 daripada zakat yang dikeluarkan untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS.

Wang zakat itu akan disalur berdasarkan empat pakej utama iaitu bantuan pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

-AA-