Categories
SELANGOR

Speaker: Pencelaan dibuat secara teliti

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 APRIL: Hukuman pencelaan terhadap Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dibuat secara teliti, kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh.

Beliau berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang turut dipengerusikannya bermesyuarat lima kali sebelum memutuskan usul pencelaan berkenaan dibawa ke DNS untuk dibahas dan diputuskan.

Katanya, mesyuarat juga mengambil pandangan ahli jawatankuasa yang mewakili semua parti iaitu KEADILAN, DAP, PAS, Amanah dan Umno.

“Seperti perbahasan tadi (semalam), ramai mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap Mat Nadzari, namun jawatankuasa berpendirian pencelaan memadai bagi memberi pengajaran dan peringatan.

“ADN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz mewakili Umno turut menyokong pencelaan diberikan,” katanya kepada pemberita di lobi DNS, semalam.

Selain Johan, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Dr Yaakob Sapari dan Dr Xavier Jayakumar dari KEADILAN, Tiew Way Keng (DAP), Mohd Haslin Hassan (PAS) dan Hasnul Baharuddin (Amanah).

Pada masa sama, Hannah turut mengingatkan Mat Nadzari bahawa DNS mengamalkan dasar pemisahan kekuasaan (seperation of power) dan keputusan DNS tidak seharusnya dicabar.

Hannah Yeoh“Hal dalaman yang diputuskan Speaker, Timbalannya atau jawatankuasa DNS tidak boleh dicabar sebarang pihak termasuk mahkamah.

“ADN tidak boleh lari keluar dan minta tolong pihak luar untuk menentukan sama ada sesuatu ucapan atau perbuatan menyalahi undang-undang tetap DNS.

“Mengikut Peraturan Tetap 87, perkara itu diputuskan Speaker atau Timbalan semasa mempengerusikan dewan dan bukan mahkamah,” katanya.

Semalam, buat pertama kalinya DNS menjatuhkan hukuman berbentuk pencelaan (admonishment) terhadap Mat Nadzari.

Pada 1 November 2016, Mat Nadzari ketika berucap di DNS antara lain berkata terdapat sebahagian komponen pentadbiran negeri berniat untuk tidak mengiktiraf Raja Berperlembagaan.

Berdasarkan kenyataan itu, pada 10 November 2016, ADN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim membawa usul untuk merujuk Mat Nadzari ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Pada 6 Mac lalu, Mat Nadzari memfailkan saman pemula terhadap Speaker, Setiausaha dan DNS bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017 mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.

-AA-