Categories
EXCO SELANGOR

KPKT lulus RM124,000 baik pulih Pangsapuri Teluk Gedung Indah

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak RM124,000 bagi membaik pulih Pangsapuri Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata dana yang diluluskan pada 30 April akan digunakan untuk membaiki pemegang tangga di dua blok pangsapuri berkenaan.

“Kerja-kerja pembaikan dalam proses pelantikan kontraktor yang dimuktamadkan pada September,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

“Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga tidak bercadang untuk memindahkan penduduk sekiranya kerja pembaikan dilaksana, namun perkara ini akan disemak dari semasa ke semasa.”

Pada 18 Februari, Majlis Tindakan Negeri Selangor memanjangkan permohonan dana MPK sebanyak RM5.75 juta kepada menteri KPKT bagi membaik pulih pangsapuri berkenaan.

Permohonan itu bagi membaiki mendapan tanah, struktur bumbung dan konkrit, lantai, mengecat bahagian luar bangunan, bumbung dan kerosakan am serta pendawaian elektrik.

Sementara itu, EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata pihaknya akan terus mendesak KPKT supaya menyediakan peruntukan khas bagi membaik pulih kerosakan tersebut.

“KPKT memaklumkan mereka tiada peruntukan khas untuk perkara tersebut dan ini menyebabkan pangsapuri ini terus mengalami mendapan.

“Kita akan terus mendesak supaya ada tabung khas untuk menyelesaikan masalah tidak selamat bagi semua tempat di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk Pangsapuri Taman Teluk Gadung Indah resah apabila mendapan tanah di sekitar bangunan berkenaan semakin teruk sejak beberapa tahun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

904 jangkitan Covid-19 punca 22 bazar Ramadan ditutup esok

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 904 individu yang dijangkiti Covid-19 direkodkan pernah berkunjung ke 22 bazar Ramadan yang diarahkan tutup operasi mulai esok.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (Hide) menunjukkan angka kontak rapat yang tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di lokasi terlibat.

“Sistem yang dibangunkan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan memberi amaran awal bagi mencegah ledakan jangkitan wabak menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

“Bazar-bazar ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca kepada penyebaran jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKT berkata bazar di enam negeri dan satu wilayah itu akan ditutup selama tiga hari bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula tatacara operasi piawai (SOP).

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disaran mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan berkenaan.

Sebelum ini, KPKT mengarahkan dua bazar Ramadan di Selangor, Kuala Lumpur (dua), Johor (empat), Kedah (tiga), Pahang (dua), Perak (satu) dan Pulau Pinang (lapan) ditutup susulan ancaman penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua bazar Ramadan di Selangor antara 22 diarah tutup mulai esok

SHAH ALAM, 30 APRIL: Bazar Ramadan di Subang Jaya dan Pandan Indah antara 22 bazar yang diarah tutup operasi mulai esok bagi membendung jangkitan Covid-19.

Menurut surat yang diedar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada pihak berkuasa tempatan enam negeri dan satu wilayah, arahan itu susulan ancaman penularan wabak di kawasan terbabit.

“KPKT menerima laporan daripada Hide (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang telah mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan seperti yang dilampirkan.

“Ancaman penyebaran ini adalah hasil analisis pengesanan kontak yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera,” menurut surat bertarikh 30 April.

Di Selangor, bazar yang terlibat ialah Pusat Sementara Penjaja/Basar Ramadhan Puncak Jalil, Subang Jaya serta Stesen LRT Cempaka, Ampang Jaya.

Senarai 20 bazar Ramadan lain yang diarah tutup:

Kuala Lumpur
– Bazar Ramadan Taman Setiawangsa
– Bazar Iftar Ramadan Jalan Raja Alang

Johor
– Bazar Ramadan Belatuk Taman Scientex, Pasir Gudang
– Bazar Ramadan Kg Pasir, Jalan Mata Kuching, Johor Bahru
– Bazar Ramadan @Mart Kempas, Johor Bahru
– Bazar Ramadan Lok Heng, Kota Tinggi

Kedah
– Bazar Ramadan Taman Selasih, Kulim
– Bazar Ramadan Baling 2021, Baling
– Bazar Ramadan Kupang 2021, Baling

Pahang
– Bazar Ramadan Lurah Semantan, Temerloh
– Bazar Ramadan Temerloh Jaya, Temerloh

Perak
– Bazar Ramadan Bazar Nenas Kg Selabak, Teluk Intan

Pulau Pinang
– Bazar Ramadan MPKK Jalan Tenggiri, Seberang Perai
– Bazar Ramadan Attakwa Taman Bertam Indah, Seberang Perai
– Bazar Ramadan Bazar Ramadhan MBPP/MBSP
– Bazar Ramadan Kampung Melayu
– Bazar Ramadan Masjid Daerah Barat Daya
– Bazar Ramadan Iftar Ramadhan Jalan Berangan Bkt Bntng 2021
– Bazar Ramadan Bukit Gedung
– Bazar Ramadan Taman Tun Sardon

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO saran KPKT tiru langkah Selangor pantau PPR

SHAH ALAM, 27 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mencontohi Kerajaan Selangor dalam memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR).

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata pihaknya bukan saja menitikberatkan persekitaran kondusif bagi penduduk kawasan tersebut malah turut menumpukan aspek kebajikan serta kaedah membantu mereka menambah pendapatan.

“KPKT diminta beri tumpuan kepada penghuni PPR terutama di Lembah Subang yang pengurusannya sudah berpindah tangan kepada mereka dari Kerajaan Selangor.

“Perkara ini perlu diambil serius kerana sepanjang pandemik Covid-19 pelagai isu timbul berkaitan penduduk di situ,” kata Rodziah Ismail selepas Program Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Wanita KEADILAN Selangor kepada Wanita KEADILAN Pahang.

Program di Dewan Pusat Wanita Berdaya Seksyen 23 di sini turut dihadiri Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata sehingga kini terdapat empat PPR di bawah pengurusan Kerajaan Selangor iaitu PPR Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Taman Tasik Teratai Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi.

Katanya, pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pengecualian dan penangguhan bayaran sewa PPR melibatkan kos RM1.7 juta serta manfaat 2,361 unit penyewa.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT kembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa di 19 PPR

IPOH, 29 FEB: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk mengembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di 19 Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata ketika ini pihaknya telah menubuhkan lima ZeComm iaitu di PPR Kota Bharu, Kelantan; PPR Lembah Subang 2, Selangor; PPR Tehel, Melaka; PPR Senawang, Negeri Sembilan dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh.

Beliau berkata inisiatif diperkenalkan sejak 2018, bagi kawasan perumahan terpilih itu selaras dengan pengasingan sisa pepejal yang dirangka untuk menyediakan akses penduduk menjalankan rawatan sisa makanan serta menjual barangan kitar semula, sekali gus mendapatkan ganjaran.

“Melalui ZeComm, satu pusat sifar sisa disediakan iaitu sebuah pusat pengumpulan barangan kitar semula dan pusat kompos. Penduduk perlu mengasingkan sisa makanan dan barang kitar semula dan akan diberi ganjaran dalam cara penebusan barangan harian seperti beras, minyak masak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Hari Komuniti Negara yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim di sini, hari ini.

Mengenai Hari Komuniti Negara, Mohammad berkata ia diadakan bertujuan menghargai sumbangan serta kerjasama rakan-rakan strategik daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi yang berusaha membantu memperkasa serta mendaya upaya komuniti.

“Sambutan ini secara tidak langsung memberi pendedahan dan hebahan kepada seluruh rakyat supaya sentiasa meneruskan usaha menjadikan komuniti sebagai golongan sasar utama dalam agenda pembangunan.

“Kami juga menyeru rakan strategik berpotensi untuk menjayakan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara dan dengan langkah ini, kesejahteraan komuniti perumahan di bandar terutamanya dalam kalangan golongan B40 lebih berdaya maju dan sejahtera secara holistik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat Kredit Komuniti perlu tukar papan tanda tahun depan

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Semua syarikat pemberi pinjam wang (PPW) atau dikenali syarikat Kredit Komuniti, yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikehendaki menukar papan tanda mengikut logo baharu ditetapkan, pada tahun hadapan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata kebanyakan syarikat terbabit masih belum menukar papan tanda, dengan alasan hanya akan berbuat demikian selepas proses memperbaharui lesen syarikat masing-masing dilakukan.

“Kita faham ada di antara syarikat yang menunggu lesen mereka ‘mati’ baru nak tukar papan tanda, selepas memperbaharui lesen syarikat, jadi sebab itu ada yang lewat.

“Justeru, selepas kita teliti bermula 2020, mereka kena terus tukar dan tidak perlu lagi menunggu sehingga tarikh memperbaharui lesen, baru nak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di kejohanan bola sepak Piala Zuraida Kamaruddin, di padang bola Tasik Tambahan di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini berhubung lebih 4,000 syarikat Kredit Komuniti yang berdaftar dengan KPKT, hanya 11 yang telah menukar papan tanda seperti diarahkan.

Pada April lalu, semua 4,115 PPW yang berdaftar diberi tempoh tiga bulan untuk menukar papan tanda mengikut logo baharu yang ditetapkan, antaranya bertujuan membezakannya dengan syarikat tidak berdaftar bagi mengelak pengguna terpedaya.

Mengulas dakwaan terdapat syarikat Kredit Komuniti yang mengenakan kadar faedah yang tinggi, beliau berkata sekiranya aduan itu benar, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit.

“Setakat ini belum ada laporan, tetapi jika ada, kita akan siasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dijangka akan mengadakan perbincangan, berhubung proses mengambil alih tanah bagi cadangan pembangunan semula kondominium Highland Towers, pada 8 Januari hadapan.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) pada Isnin lepas, dan ia akan dibawa ke MTES untuk diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata padang bola Tasik Tambahan yang berusia kira-kira 20 tahun, akan dinaik taraf dengan dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk tempat duduk berbumbung untuk penonton.

Secara tidak langsung katanya, ia dapat meningkatkan imej bandar itu menjadi sebuah bandar raya pada masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jual kepada warga asing melalui program rumah kedua

SHAH ALAM, 20 NOV: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan rumah mewah yang tidak terjual boleh dijual kepada ekspatriat berkelayakan mengikut mekanisme sedia ada melalui program Malaysia My Second Home (MM2H).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata langkah itu bagi memastikan lambakan rumah mewah dapat diatasi, sekali gus membantu merancakkan kembali ekonomi negara.

“Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) Suku Kedua 2019, terdapat 4,213 atau 12.8 peratus rumah mewah berharga RM1 juta ke atas dengan nilai RM8.3 bilion tidak terjual di negara ini.

“Sehubungan itu, penjualan rumah mewah kepada warga asing dapat mengurangkan lambakan unit rumah mewah sedia ada serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaaan lisan dikemukakan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan transaksi jual beli hartanah kediaman yang dikeluarkan NAPIC, jumlah pemilikan rumah oleh warga asing amat rendah, iaitu sebanyak 398 orang atau 0.4 peratus berbanding pemilikan warga Malaysia iaitu 99,524 orang atau 99.6 peratus bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini.

Zuraida berkata secara keseluruhan, transaksi itu menunjukkan pasaran hartanah kediaman bagi warga asing masih terkawal.

Pada masa sama, katanya kerajaan komited untuk menyediakan perumahan khususnya bagi golongan B40 dan M40 melalui beberapa inisiatif.

“Antaranya penyediaan 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, skim pembiayaan dana RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia serta pemanjangan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam,” katanya.

Categories
AGENDA JENAYAH

Malaysia pulangkan semula kontena sisa plastik tidak patuh undang-undang

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Malaysia akan menghantar pulang semula kontena berisi jutaan sisa plastik dari luar negara yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurutnya yang akan dihantar pulang adalah kontena yang tidak memiliki lesen import sisa plastik di samping kontena nengandungi sisa plastik yang tidak bersih dan tidak homogen.

“Ia adalah antara langkah yang diambil bagi mengatasi import haram jutaan tan sisa plastik dari luar negara ke Malaysia,” kata KPKT dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini.

Ia sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang mahu pihak kementerian menjelaskan apakah langkah kawalan yang telah dan akan diambil kementerian bagi mengatasi import haram jutaan tan sisa sampah dari luar negara ke Malaysia.

KPKT menegaskan hanya import sisa plastik yang bersih dan homogen sahaja dibenarkan dihantar ke Malaysia dan antara yang diluluskan adalah sisa plastik yang berasal dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah termasuklah dari Asia Barat.

Negara-negara ini membekalkan sisa plastik berkualiti tinggi dan bersih seperti Acrylonitrile butadiene styrene (ABS) lumps dan Polyethylene (PE) film.

KPKT turut mengenakan syarat lebih ketat bagi import sisa plastik HS Code & kod tariff 39.15.

“Kementerian juga menjalankan operasi bersepadu bagi mengetatkan kawalan di pintu masuk Pelabuhan Persekutuan dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan,” kata kementerian.

Kementerian juga akan meneliti isu berkaitan perundangan, peraturan, penguatkuasaan dan kawalan dari semasa ke semasa melalui platform Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Skrap Plastik Import yang dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KPKT dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kertas cadangan pilihan raya kerajaan tempatan perlu masa tiga tahun – KPKT

GEORGE TOWN, 17 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memerlukan tiga tahun untuk menghasilkan satu kertas cadangan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata dalam tempoh itu pihaknya akan mengadakan bengkel dan forum awam kepada semua pihak berkepentingan selain menjalin kerjasama dengan gabungan demokrasi tempatan untuk mendidik orang awam berhubung pilihan raya kerajaan tempatan.

“Dalam masa tiga tahun ini kita membuat bengkel, forum dan sebagainya kepada semua pemegang taruh. Kemudian kita buat perancangan dan hari ini adalah langkah kedua iaitu yang mana gabungan kerajaan tempatan main peranan untuk turun padang bersua dengan komuniti, mendidik mereka apa itu kerajaan tempatan dan peranannya.

“Pada masa sama, KPKT akan membuat pindaan akta yang perlu. InsyaAllah selewat-lewatnya akhir tahun ini kita akan bentangkan kepada Kabinet untuk pinda akta-akta berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Awam ‘Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Siapa Untung, Siapa Rugi’ di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo.

Zuraida berkata, tempoh pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan itu akan ditentukan selepas kertas cadangan itu dibentang dan mendapat kelulusan Kabinet.

“Pelaksanaan pilihan raya ini boleh dijalankan secara berperingkat, tidak semestinya semua kerajaan tempatan perlu melaksanakan pilihan raya ini dalam satu masa. Pulau Pinang sebuah negeri yang matang, mereka telah mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan ketika mereka dalam pembangkang. InsyaAllah, apabila tiba waktu pelaksanaannya P.Pinang akan menjadi nombor satu dalam senarai,” katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, Zuraida berkata beliau meminta Perdana Menteri supaya memberi peluang kepada pihaknya untuk membentangkan kertas cadangan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Tun Dr Mahathir mungkin mendengar pandangan lama yang masih lagi berlegar dalam fikiran Tun. Tetapi apa pun sebagai sebuah kerajaan yang profesional, satu pembentangan yang menyeluruh harus kita ketengahkan dan digunakan sebagai dasar untuk buat keputusan. Kita tidak boleh buat keputusan atas dasar dengar cakap (pandangan) orang lain,” katanya.

Sementara itu, Jagdeep berharap pilihan raya kerajaan tempatan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat memandangkan Pulau Pinang telah lama memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya itu sehingga membawa isu itu ke peringkat mahkamah tertinggi.

“Kehadiran menteri pada forum hari ini menunjukkan komitmen beliau untuk melihat kepada usaha mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat. Isunya sekarang ialah bila (pelaksanaannya). Kita menyokong hasrat ini harap ia boleh dipercepatkan. Saya ada keyakinan yang tinggi ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terima keputusan Kabinet lanjut lesen Lynas

PEKAN, 16 OGOS: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menerima keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), di Gebeng di sini.

“Ini adalah keputusan Kabinet yang dibincangkan dan dipersetujui. Saya adalah ahli Kabinet, jadi saya perlu mengikut keputusan itu,” katanya semasa ditanya pendiriannya berhubung isu berkenaan.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Acara Memanah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Arena Mahkota di sini, hari ini.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan bekerjasama dengan Kerajaan Pahang untuk membuat semakan tapak yang sesuai dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas.

Pembinaan PDF dalam tempoh enam bulan adalah antara syarat yang wajib dipenuhi Lynas dalam keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang itu, yang dijadualkan berakhir bulan hadapan, kepada tempoh enam bulan.

“Kerajaan Negeri akan mencadangkan tapak untuk PDF dan kerajaan Persekutuan akan membuat semakan sama ada sesuai atau tidak. Ia perlu mengikut garis panduan standard seperti berapa jauh dari penduduk dan kawasan perumahan.

“Setakat ini, kita belum mendengar ada tapak yang telah dicadangkan, namun kita harap kerajaan negeri beri kerjasama kepada Lynas supaya mereka boleh membuat perancangan berhubung tapak PDF itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung insiden lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat Kerinchi di Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu, Zuraida berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian masih berjalan.

Beliau juga memaklumkan kementeriannya akan mengadakan mesyuarat pelarasan bagi memastikan lif di kawasan perumahan dipantau dan diselenggara secara berkala bagi mengelakkan kejadian sama berlaku.

“Lif ini dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia di mana ia adalah kawalan Niosh di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mereka yang membuat keputusan.

“Namun, memandangkan insiden ini membabitkan perumahan rakyat di bawah KPKT, jadi kita akan memastikan setiap lif yang ada dilakukan pemantauan berkala dan harus dipantau serta diselenggara mengikut jadual,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Budayakan amalan berani tegur, jaga kebersihan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengadakan kempen yang menggalakkan amalan tegur menegur dalam aspek kebersihan supaya orang ramai berani menegur individu yang didapati membuang sampah sesuka hati.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, budaya tegur menegur terutama dalam aspek kebersihan perlu menjadi amalan masyarakat, di negara ini.

“Saya akan lancarkan kempen ‘Saya Berani Menegur’ supaya rakyat Malaysia berani menegur dan yang ditegur tidak akan marah.

“Kita mahu pastikan negara bersih dan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara progresif kerana kebersihan adalah penting’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Little River Festival 2019’ di sini hari ini.

Katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk yang berani menegur supaya budaya berkenaan menjadi amalan yang datang dari diri sendiri, bukannya penguatkuasaan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada pegawai penguat kuasa sahaja, ia tidak akan berjaya. Kita akan libatkan badan bukan kerajaan dan pastikan ia bukan sekadar program ‘touch and go’,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida berkata, pihaknya akan membantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam aspek kendalian lif khususnya di kawasan kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“SOP kendalian lif ini di bawah (Kementerian) Sumber Manusia, ia bukan di bawah Kementerian Perumahan (dan Kerajaan Tempatan), tetapi saya akan kaji balik bagaimana kita boleh bantu pantau sama ada prosedur boleh dilaksana atau diperketatkan,” katanya.

Beliau mengulas insiden sebuah lif yang dinaiki sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak terhempas dari tingkat lima ke tingkat bawah di salah sebuah bangunan PPR Kampung Kerinchi semalam, menyebabkan lapan daripada mereka cedera.

Berhubung perjumpaannya bersama beberapa Ahli Dewan Negeri Selangor semalam, Zuraida berkata perjumpaan itu diadakan bagi membincangkan isu PPRT.

“Saya bercakap berhubung Dasar Komuniti Negara yang memberi tumpuan kepada PPRT. Di kawasan perumahan ini, kita kena buat program penguatkuasaan dan taklimat intensif.

“Kita mahu perbaiki kualiti hidup golongan isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT lulus RM1 juta konsultasi bina pasar Pasir Pinji baharu

IPOH, 17 JULAI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan RM1 juta bagi tujuan konsultasi oleh pihak berkaitan untuk pembinaan pasar Pasir Pinji yang baharu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, melihat kepada keadaan pasar sedia ada yang uzur, kementeriannya akan berusaha menjayakan projek pembinaan semula pasar baharu untuk penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya boleh lihat keadaan pasar ini yang sangat lama jadi saya rasa ia patut dinaik taraf, jadi kita akan keluarkan segera RM1 juta ringgit dahulu untuk konsultasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pasar Pasir Pinji, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, cadangan kos RM11 juta bagi pembinaan pasar baharu itu akan diberikan secara berperingkat.

“Yang mereka anggarkan adalah RM11 juta tapi kita buat kerja awal untuk perundingan dahulu kemudian kita cuba mengurangkan kos mana yang boleh dan mungkin akan dilepaskan secara berperingkat.

“Saya juga meminta supaya pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dapat bekerjasama menyumbang bagi menjayakan pembiaan semula pasar ini,” katanya.

Mengikut cadangan, pasar baharu berkeluasan 3,000 meter persegi itu turut dilengkapi parkir bawah tanah serta gerai jualan yang lebih tersusun.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How menjalankan pengundian orang ramai untuk membina pasar baharu.

Hasilnya, 94 peratus daripada 1,715 penduduk di kawasan itu mengundi bersetuju untuk membina pasar baharu di kawasan berkenaan.

-BERNAMA