Categories
SELANGOR

Tingkat aset, inovasi kenderaan demi khidmat terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Usaha Pengurusan Air Selangor dalam menyediakan perkhidmatan terbaik diteruskan lagi dengan melaksanakan inovasi membabitkan aset dan kenderaannya.

Antara aset dan inovasi kenderaan yang dilancarkan adalah motosikal ‘V-Rider’, ‘Q-Rider’, pemasangan sistem penentududukan sejagat (GPS) pada lori tangki dan trak pikap tahan lasak.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, sebanyak 59 motosikal sedia ada diubahsuai dengan memasang pendakap untuk membawa kunci injap.

MB AIR SEL 5Katanya, motosikal ‘V-Rider’ itu membolehkan pasukan pengesahan kebocoran menutup injap air apabila terdapat kebocoran paip di tapak.

“Ia sekaligus mempercepatkan masa sampai ke lokasi dan mengurangkan pembaziran air. Secara tidak langsung, inovasi ini dapat mengurangkan tempoh gangguan bekalan air kepada pengguna dan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

“Manakala, sebanyak 10 motosikal sedia ada diubahsuai kepada ‘Q-Rider’ dengan memasang peti simpanan kedap haba untuk menyimpan perkakasan pensampelan bagi menjalankan ujian kualiti air di tapak premis atau premis dalam menangani aduan kualiti dilakukan dengan cepat,” katanya di Majlis Pelancaran Aset dan Inovasi Kenderaan di Pejabat Air Selangor daerah Gombak, di sini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

MB AIR SEL 6Selain itu, katanya, sebanyak 22 buah trak pikap tahan lasak jenis Toyota Hilux untuk pasukan NRW membawa ‘pakar kebocoran’ serta peralatan mendengar dan mengesan kebocoran pada rangkaian saliran paip air untuk dibaiki.

“Dengan adanya trak pikap ini memudahkan juruteknik memasuki kawasan pendalaman untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan. Trak sama juga digunakan pasukan Zon Permeteran Daerah untuk mengawal tekanan air.

“Bagi memperkasakan pasukan pemantau sungai, enam trak pikap digunakan memantau sungai yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air dengan pasukan Lembaga Urus Air Selangor secara berjadual,” katanya.

Suhaimi berkata, 75 buah lori tangki juga dipasang dengan GPS bagi mengurus penghantaran dan memantau perjalanan bekalan air bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna.

Katanya, sistem GPS itu dipasang pada lori dan boleh dipantau melalui komputer atau telefon bimbit secara masa sebenar (real time).

“Air Selangor akan terus melaksanakan inisiatif untuk menambahbaikkan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

-nR-