Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Ulang kaji bersama rakan tips pelajar cemerlang STAM 2016

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Rajin mengulangkaji pelajaran serta tidak meninggalkan solat antara tips kejayaan Ahmad Fareez Abdul Wahab yang menerima anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 peringkat negeri.

Fareez, 19, berkata, beliau gemar belajar secara berkumpulan berbanding mengulangkaji berseorangan.

“Saya lebih suka ajak kawan belajar bersama sebab kita akan berkongsi pelbagai idea dan ilmu dalam kepakaran subjek masing-masing. Malah, rakan juga sering berjumpa saya kerana ingin mengulangkaji pelajaran bersama.

PELAJAR UPKK STAM (1)“Selain itu, saya menjadikan guru saya, Dr Sahrul Azmi Sidek sebagai sumber inspirasi kerana beliau banyak memberi kata semangat dan motivasi.

“Saya amalkan tips beliau melalui perkataan ‘SATU’ yang bermaksud ‘Sedia Awal, Tumpu dan Ulang’. Kini, saya dapat mencapai kejayaan,” katanya yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Hishamuddin, Klang.

Seorang lagi pelajar yang merangkul Pelajar Terbaik STAM 2016 peringkat negeri bagi kategori perempuan ialah Nur Syafiqah Ahmad Azmee, 19, dari Sekolah Agama Menengah (SAM) Jeram, Kuala Selangor.

Syafiqah berkata, didikan ibunya yang sering mengejutkan beliau jam 3 pagi untuk belajar membuatkannya berjaya.

“Sejak saya enam tahun, ibu selalu kejut awal pagi. Berbanding orang lain, bagi saya masa waktu belajar yang tepat adalah pukul tiga pagi sehingga sebelum subuh.

PELAJAR UPKK STAM (2)“Selain itu, ibu juga selalu berpesan tidak tinggal solat hajat setiap hari, selepas waktu Maghrib,” katanya yang bercita-cita ingin menjadi seorang pendidik aliran agama seperti ibunya.

Pada masa sama, Muhammad Ammar Ahmad Arman Firdaus, 12, juga berjaya merangkul Anugerah Pelajar Lelaki Terbaik Peringkat Negeri bagi Ujian Peperiksaan Kelas KAFA (UPKK) dan Adrianna Alea Lee Muhammad Fairuz Lee, bagi kategori perempuan.

Manakala ,Anugerah Pelajar Cemerlang Lelaki terbaik peringkat negeri bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diperolehi Muhammad Arif Arham Amri dari Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 9, di sini.