Categories
NASIONAL

Daftar sekolah agama persendirian, madrasah bawah JAKIM

KUALA LUMPUR, 27 APR: Sekolah aliran agama persendirian termasuk madrasah tahfiz akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dalam masa terdekat, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, langkah itu diperlukan selepas mengenal pasti garis panduan tepat ke arah pelaksanaan hukuman rotan di sekolah berkenaan diwujudkan.

Bagaimanapun, keperluan itu tertakluk kepada pengumunan di peringkat Kerajaan Persekutuan melalui rangkaan program Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dirancang sebelum ini.

“Jika ini berlaku, maknanya semua sekolah persendirian aliran agama akan didaftarkan dan mudah untuk diurus sebarang prosedur yang hendak dikenakan kepada sekolah ini.

rotan pelajar“Namun, sekolah agama persendirian dan madrasah tahfiz di bawah mana-mana tanggungjawab harus berpandu kepada SOP kementerian sama ada berkaitan disipilin, kebajikan, tanggungjawab guru dan pelajar.

“Begitu juga merotan, kena ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya sebagai mengulas cadangan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan supaya garis panduan pelaksanaan hukuman rotan dikaji semula.

Cadangan itu dikeluarkan susulan insiden kecederaan dialami Mohamad Thaqif Amin yang tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya, sejak dua minggu lalu.

Mohamad Thaqif yang dipotong kedua belah kaki hingga paras peha akibat dijangkiti kuman meninggal dunia, semalam.

Terdahulu, pelajar itu dijadual akan menjalani pembedahan memotong tangan kanannya daripada bahagian jari hingga bawah siku pada jam 8 pagi semalam, namun ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Sementara itu, warden lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai menyebabkan kecederaan Mohamad Thaqif kini ditahan dan direman bagi membantu siasatan kes, sehingga 29 April ini.