Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KEADILAN tepis dakwaan jual Selangor kepada Taiwan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 APR: Hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan pentadbiran Taiwan tidak menggambarkan wujudnya cubaan PAKATAN untuk ‘menjual’ kepentingan Selangor kepada negara itu.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua membidas laporan portal pro Umno yang melaporkan kononnya delegasi diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke Taiwan dibuat sebagai jalan pintas kepada ‘kiblat’ pentadbiran kuasa negara republik itu.

“Tujuan lawatan itu sebenarnya untuk bertukar pandangan dari Taiwan yang mempunyai pengalaman dalam menyediakan pelbagai kemudahan termasuk sistem pengangkutan yang sangat efisien.

tian-chua-pc-pkr-01“Dato’ Menteri Besar sangat berminat untuk belajar daripada semua aspek dan mengaplikasikan pendekatan itu dalam pentadbiran, di Selangor.

“Pengalaman itu akan digunakan untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang cekap dan telus tanpa agenda kosong seperti dilakukan Khir Toyo dahulu,” katanya menerusi temubual bersama The Pocketz Malaysia.

Delegasi Selangor ke negara itu selama seminggu dengan kemuncak program melalui penganjuran Seminar Masa Depan Reformasi Malaysia yang turut dihadiri beberapa Ahli Dewan Negeri dan masyarakat Malaysia di negara itu.

Delegasi ke Taiwan turut disertai Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim, Amirudin Shari dan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Nor Azmie Diron dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

CECI Meeting 2Ia turut disertai, Ketua Pegawai Eksekutif SITEC, Wong Kai Ping; Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas dan tokoh terkemuka industri teknologi halal serta e-dagang.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri optimis mampu menjalinkan hubungan baik Selangor dan Taiwan bagi menjana pulangan pelaburan maksima dari negara itu.

“Kami sentiasa mahukan situasi menang-menang yang mampu memaksimumkan pulangan pelaburan sementara kami dapat pastikan manfaat untuk rakyat dan ekonomi setempat menerusi peluang pekerjaan, pindahan teknologi serta peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.