Categories
SUKANKINI

AAM: Jawatankuasa ditubuh siasat punca kematian pelumba

SHAH ALAM 9 MEI: Satu jawatankuasa siasatan bakal ditubuhkan bagi menyiasat insiden menyebabkan kematian pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Norizman Ismail pada Jumaat lalu.

Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha berkata, jawatankuasa berkenaan bakal ditubuhkan sebaik saja badan induk sukan permotoran itu menerima semua dokumen berkaitan.

Beliau dalam kenyataan media berkata, kemalangan itu adalah satu kesedihan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kematian pelumba kategori CP150 bernombor 19, Norizman Ismail ketika Ujian Masa Rasmi.

Berdasarkan laporan awal, Norizman dikatakan terbabas secara sendiri di Selekoh 1 dan terkena benteng udara disusuli motosikalnya.

Marshal dan paramedik bergegas ke arahnya dan bendera merah dikibarkan oleh COC pada jam 3.53 petang bagi menghentikan sesi ujian masa itu.

“Pada jam 3.55 petang, dia dibawa oleh ambulans sirkit ke pusat trauma dan cuba diselamatkan Ketua Pegawai Perubatan (CMO), doktor bertugas dan Ketua Pegawai Paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman menggunakan mesin sokongan hayat dan tiba di sana pada jam 4.12 petang.

“Petugas di hospital yang terletak kira-kira 10 minit dari trek meneruskan rawatan sebaik mungkin tetapi pelumba itu disahkan meninggal dunia pada 4.50 petang pada Jumaat, 5 Mei 2017,” kata Tunku Mudzaffar.

Beliau menegaskan, sebelum perlumbaan bermula, sirkit itu sudah pun diperiksa oleh Inspektor Rasmi Sirkit AAM pada Khamis (3 Mei), bagi memastikan kesemua ciri-ciri keselamatan dan penghadang berada di kedudukan sepatutnya untuk perlumbaan berkenaan.

“AAM mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan Norizman,” katanya.

=EZY=