Categories
KENYATAAN MEDIA

Adakah Umno masih komited pertahan ideologi Melayu-Islam?

OLEH SYED IBRAHIM SYED NOH

Sempena sambutan ulang tahun ke-71, saya rasa terpanggil untuk menceritakan imej Umno sebenar hari ini yang cukup berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh Umno pada tahun penubuhan 1946.

Jika rakyat masih beranggapan bahawa Umno ialah ‘pembela Melayu Islam’, maka sudah pasti mereka adalah golongan yang tertipu dengan golongan yang menggunakan nama bangsa dan agama untuk terus mendapat kuasa yang menzalimi rakyat sendiri.

Pertama, rakyat diperlihatkan hari ini beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan organisasi yang beridentitikan bumiputera dan Islam telah terpalit dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa yang semakin membarah. Antaranya ialah:

1. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) – Skandal tahun 2015 ini membabitkan kumpulan wang infak yang seharusnya diberikan kepada anak-anak yatim.

Malangnya, sebanyak RM 410,978.56 telah didakwa digunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir untuk membiayai perjalanan ke AS bersama isterinya, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Mengapa wang kebajikan yang dituntut Islam dibelanjakan untuk perkara yang salah?

MARA PENDIDIKAN2. Majlis Amanah Rakyat (MARA) – Institusi berjenama bumiputera ini telah dikaitkan dengan skandal pembelian hartanah di Melbourne yang didedahkan pada tahun 2015 melibatkan dana sejumlah RM129 juta. Terbukti kes ini sekarang dalam proses siasatan.

Pada tahun yang sama, saudara Rafizi Ramli telah mempersoalkan pengurangan biasiswa pendidikan MARA untuk bumiputera. Adakah wang yang disalahgunakan akhirnya memangsakan golongan bumiputera sendiri?

3. Tabung Haji – Rakyat pernah dikejutkan dengan transaksi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Tabung Haji melibatkan sejumlah dana RM 188.5 juta melibatkan wang pendeposit.

Walhal kerajaan memberikan tanah tersebut kepada 1MDB sebelumnya dengan harga yang jauh lebih murah. Ditambah lagi dengan kerugian anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Heavy Engineering Berhad, adakah Umno masih bersungguh untuk mempertahankan ideologi mereka.

4. FELDA – Isu kerugian FGV sehingga berlakunya pertukaran tempat untuk Pengerusi FELDA mendapat respon dari pelbagai pihak.

Penjualan semula saham FGV oleh KWSP setelah KWSP rugi RM 203.18 juta baru-baru ini menyebabkan reputasi FELDA sebagai sebuah GLC membantu peneroka-peneroka majoriti Melayu semakin terjejas.

Tambahan pula, Konvensyen Warga FELDA yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan dan ANAK tahun ini membuktikan bahawa kebajikan peneroka semakin diketepikan, termasuklah kelewatan bayaran wang sara hidup dan penyiapan rumah generasi kedua FELDA.

feldaAdakah pemerintah, yakni Umno sudah hilang semangat untuk membantu bumiputera tetapi bersemangat mementingkan kroni dan diri sendiri?

Kedua, saya tertarik dengan isu ekonomi rakyat Malaysia, terutama mengenai jurang kekayaan dalam kalangan bumiputera sendiri.

Laporan Tahunan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2016 menunjukkan bahawa 73.13 peratus pemegang unit terkecil dalam ASB hanya menguasai 2.48 peratus jumlah keseluruhan unit. Manakala 8.94 peratus pemegang unit terbesar menguasai 79.63 peratus dari keseluruhan 144 billion unit dalam ASB.

Data ini jelas menunjukkan berlakunya jurang pemilikan aset cair antara golongan kaya dan miskin bumiputera.

Malah saya yakin bahawa ketika Presiden Umno mendapat ‘derma’ RM2.6 bilion, masih ada golongan bumiputera miskin yang tinggal di rumah usang mahupun tidak memiliki apa-apa kekayaan harta.

Kajian dilaksanakan oleh Muhammad Abdul Khalid yang dipaparkan dalam buku beliau “The Colour of Inequality” (Versi Bahasa Malaysia: “Antara Dua Darjat”) menunjukkan bahawa kelompok bumiputera mempunyai jurang aset kewangan yang paling tinggi, iaitu dengan petunjuk GINI Coefficient sebanyak 0.88.

Tambah beliau, Umno kurang prihatin dan pengetahuan mengenai isu ini, memandangkan Umno dikatakan lebih tertumpu pada wang dan kuasa dan memandang isu ini sebagai tidak relevan pada masa kini.

Jika realitinya Umno tidak mengambil berat mengenai sosio-ekonomi bumiputera semata-mata tertumpu pada kekayaan kroni dan kumpulan kleptokrat, maka terbuktilah bahawa ideologi perjuangan Umno sebenarnya ibarat ‘indah khabar dari rupa’.

1MDB02Mereka menggunakan nama bangsa dan agama untuk mendapatkan sokongan dan mengelirukan rakyat, terutama mereka yang tinggal di desa dan tidak mampu mendapat capaian media alternatif.

Saya yakin untuk pilihan raya kali ini, Umno tetap akan menggunakan strategi provokasi bangsa dan agama untuk meraih undi.

Tema ‘Penyatuan, Maruah dan Martabat Perjuangan serta Kesetiaan’ untuk ulang tahun Umno kali ini adalah bicara kosong dari sebuah organisasi yang semakin tenggelam dengan rasuah, salahguna kuasa dan kerapuhan ideologi.

Pakatan Harapan mempunyai matlamat dalam membentuk sebuah negara yang memperjuangkan kesemua rakyat Malaysia.

Pendirian Pakatan Harapan adalah tetap: Reformasi pentadbiran diperlukan melalui jalan pilihan raya.

Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahukan perubahan negara ke arah yang positif, dan tidak mahu berkompromi dengan mana-mana pihak yang sanggup menjadi talian hayat kepada Umno dan Barisan Nasional untuk terus memperbodohkan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Jadikan pilihan raya umum kali ini sebagai pencetus perubahan.
*Syed Ibrahim adalah Ketua Penerangan KEADILAN